Tempoh memegang jawatan Perdana Menteri di Malaysia akan dihadkan kepada 10 tahun atau dua penggal penuh, dan merupakan antara langkah reformasi penting yang digerakkan Kerajaan Perpaduan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perutusan sulung tahun baru 2026 semasa Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 5 Januari.
Sebelum menjadi kerajaan, Pakatan Harapan (PH), iaitu blok politik yang diketuai Datuk Anwar, pernah menetapkan manifesto pilihan raya untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal jika PH mentadbir negara.
Ia antara lain bertujuan memastikan kestabilan politik, keadilan dalam pengagihan kuasa serta mengelak pemusatan kuasa yang boleh membawa kepada ruang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
Datuk Anwar berkata had jawatan Perdana Menteri itu adalah antara hala tuju baru Kerajaan Madani dan Rang Undang-Undang (RUU) mengenainya akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Parlimen 2026.
“Semua orang ada had tempohnya... (contohnya) KSN (Ketua Setiausaha Negara) tidak boleh sampai puluhan tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya.
“Ini juga terpakai kepada JPM, maka kita akan membentangkan RUU mengehadkan tempoh bagi jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh,” katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bersama Umno pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia paling lama memegang jawatan iaitu selama 22 tahun sejak 1981, sebelum mengumumkan peletakan jawatan pada 2003.
Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir kemudian sekali lagi menjadi Perdana Menteri mengetuai Kerajaan PH pada 2018 hingga 2020.
Selepas mengambil alih pentadbiran sebagai Perdana Menteri pada November 2022, Datuk Anwar pernah menyatakan banyak kerosakan berlaku ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir, termasuk mendakwa pemimpin itu membolot kekayaan negara sepanjang 22 tahun memegang kuasa.
Datuk Anwar dan pemimpin PH selepas itu beberapa kali kembali menegaskan cadangan mengehadkan jawatan Perdana Menteri.
Dalam perutusan itu, Datuk Anwar turut menegaskan kepentingan membanteras rasuah, yang tidak hanya melibatkan orang politik, malah pegawai kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia yang sepatutnya telus dalam menjaga kesejahteraan rakyat.
“Sebab itu saya sering tanya bila harus kita ambil langkah tegas, (jawapannya) ketika kita berkuasa.
“Masa rakan saya jadi menteri, anda jadi pegawai, (inilah masanya) untuk hapuskan rasuah,” katanya.
Selain itu, dalam perutusan berkenaan, Datuk Anwar turut memaklumkan mengenai beberapa RUU lain yang akan dibentangkan di Parlimen pada 2026, termasuk pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, RUU Kebebasan Maklumat (FOI), dan penubuhan Ombudsman Malaysia, yang juga antara langkah reformasi penting dilakukan Kerajaan Madani.
Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan pemberian sumbangan asas rahmah (Sara) RM100 ($31.60) kepada warga 18 tahun ke atas akan mula dikreditkan pada 9 Februari.
Ia adalah sumbangan kali kedua untuk lebih 22 juta warga Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg