KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.30 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya.
Setiausaha Akhbar beliau, Encik Sufi Yusoff mengesahkan berita itu melalui saluran media rasmi Dr M Media Updates di WhatsApp pada 6 Januari.
Beliau menyatakan pemimpin berusia 100 tahun itu dibawa ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan berada dalam keadaan sedar.
“Beliau terjatuh pada awal pagi tadi dan pada kebiasaannya, perkara itu memerlukan pemerhatian lanjut di hospital.
“Saya difahamkan beliau telah terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian di balkoni rumah untuk ke ruang tamu,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Sufi menambah status kesihatan terkini Dr Mahathir akan dimaklumkan selepas pemeriksaan pakar IJN.
Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7 itu pernah dirawat di IJN pada 13 Julai 2025 kerana keletihan, namun beliau dibenarkan pulang pada hari yang sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg