ALOR SETAR (Kedah): Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak berhasrat mahu kembali menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga, sebaliknya hanya mahu memainkan peranan sebagai penasihat sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata faktor usia membataskan kemampuannya untuk kembali menerajui pentadbiran negara, namun beliau masih bersedia menabur khidmat nasihat berdasarkan pengalamannya.
“Saya dah tua… 100 tahun. Saya dah tak boleh berucap lantang seperti dulu. Saya bukan nak rampas tempat orang muda. Kita terima orang muda untuk pimpin negara.
“Bukan saya nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, tapi saya nak bagi nasihat. Saya pernah jadi Perdana Menteri selama 24 tahun, dan terlibat dalam politik lebih 80 tahun.
“Tentulah ada sedikit sebanyak yang boleh saya sumbangkan,” katanya berucap pada Himpunan Mandat Negarawan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, pada 17 Julai.
Himpunan itu turut dihadiri pemimpin tertinggi PN antaranya Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dr Mahathir turut menekankan soal kemiskinan yang masih membelenggu rakyat, walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber.
“Negara ini sebenarnya kaya, rakyat patut hidup senang, tapi kalau kita tak tahu urus dan manfaatkan aset yang ada, kita tak akan ke mana.
“Tanggungjawab utama kerajaan ialah menyelesaikan masalah kemiskinan. Kalau PN memerintah, kita akan tumpu untuk kurangkan kemiskinan. Itu tujuan utama kita berkumpul malam ini,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Dr Mahathir yang merupakan Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan Empat Negeri (SG4) berkata PN akan membawa pendekatan kepimpinan baru yang lebih terbuka menerima pandangan dan nasihat, sekali gus mampu menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Kalau berlaku perubahan kerajaan, kita akan ada Perdana Menteri yang sedia dengar nasihat. Saya percaya banyak masalah dapat diselesaikan kalau kepimpinan sanggup terima pandangan,” katanya.
Kemunculan Dr Mahathir pada program berkenaan adalah yang pertama di khalayak umum selepas beliau menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 13 Julai lalu.
Beliau tiba di lokasi itu kira-kira 10.20 malam dan dilihat berada dalam keadaan sihat sebelum menyampaikan syarahan sebagai penceramah terakhir dalam himpunan berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg