Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahathir, Zahid capai kata sepakat tarik balik saman fitnah

Jul 23, 2025 | 10:31 AM
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan), selaku plaintif, menarik balik saman yang difailkan terhadap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’, tanpa kebebasan memfailkan semula.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan), selaku plaintif, menarik balik saman yang difailkan terhadap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’, tanpa kebebasan memfailkan semula. - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 22 Julai mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan secara baik dua tuntutan saman fitnah yang dikemukakan antara mereka.

Dr Mahathir, 100 tahun, selaku plaintif, menarik balik saman yang difailkan terhadap Datuk Ahmad Zahid, 73 tahun, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’, tanpa kebebasan memfailkan semula.

Sementara itu, Datuk Ahmad Zahid pula turut menarik balik saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi mantan Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Datuk Ahmad Zahid juga bersetuju menarik balik permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Mahathir, lapor Berita Harian Malaysia.

Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Datuk Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Pada 20 April 2022 pula, Datuk Ahmad Zahid selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi mantan Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Datuk Ahmad Zahid mendakwa Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pejuang ketika itu, mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang pada 23 Februari 2022. Majlis itu diadakan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.

Datuk Ahmad Zahid berkata pada hari sama juga, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis itu diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro Awani yang mempunyai 1.4 juta pelanggan yang boleh diakses melalui Internet.

Ahli Parlimen (AP) Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah berkenaan membawa maksud bahawa beliau adalah seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Ini selain menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir campur tangan dalam perbicaraan jenayah dan siasatan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Datuk Ahmad Zahid berkata kenyataan fitnah itu memburukkan dan merosakkan reputasi serta nama baiknya serta kredibilitinya selaku Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg