Topic followed successfully
Go to BHkuMahkamah keluar waran tangkap 2 anak Daim, ahli perniagaan
Mahkamah keluar waran tangkap 2 anak Daim, ahli perniagaan
Mahkamah keluar waran tangkap 2 anak Daim, ahli perniagaan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, mengeluarkan waran tangkap terhadap dua anak lelaki mantan Menteri Kewangan Malaysia, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dan seorang ahli perniagaan kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berdepan tuduhan pada 7 April.
Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengeluarkan waran tangkap berkenaan terhadap Encik Muhammed Amir Zainuddin, 31 tahun, dan adiknya, Encik Muhammed Amin Zainuddin, 28 tahun, serta ahli perniagaan, Cik Josephine Premla, 65 tahun.
Majistret Illi Marisqa berkata setelah meneliti hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan serta merujuk kepada Seksyen 47 Kanun Prosedur Jenayah, mahkamah mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ketiga-tiga individu berkenaan telah melarikan diri.
“Saya percaya penama mempunyai pengetahuan mengenai siasatan pihak SPRM melalui penyertaan peguam di dalam surat menyurat antara mereka.
“Namun setelah masa diberikan, penama masih gagal memberikan kerjasama, oleh itu saya percaya permohonan pihak pendakwaan adalah bermerit dan waran tangkap bagi ketiga-tiga penama dibenarkan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan melaksanakan waran tangkap itu di luar negara.
Menurut pembelaan yang diwakili peguam bela, Encik Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, dalam hujahannya terhadap permohonan waran tangkap itu, Encik Muhammed Amir dan Encik Muhammed Amin kini sedang mengikuti pengajian di Britain, bagi persiapan Peperiksaan Kelayakan Peguam dan Perakaunan.
Menurutnya, Cik Josephine pula sedang menerima rawatan di luar negara.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Encik Muhammad Nizamuddin untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara pihak pembelaan memfailkan permohonan formal bagi mengetepikan waran tangkap itu di Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Majistret Illi Marisqa dalam keputusan ringkasnya berkata notis di bawah Seksyen 30 Akta SPRM telah diberikan kepada peguam penama dan mahkamah percaya ia cukup untuk memberikan pengetahuan kepada mereka mengenai niat SPRM melakukan siasatan.
Majistret itu berkata beliau bersetuju bahawa notis pertama dikeluarkan pada 13 Februari lalu untuk hadir pada 14 Februari adalah terlalu singkat, tetapi percaya mereka mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu berdasarkan surat yang telah ditulis.
Beliau berkata bagi Encik Muhammed Amir dan Encik Muhammed Amin, SPRM telah membenarkan permohonan lanjutan masa dan memberikan masa beberapa kali, sehingga tarikh akhir pada 6 April.
Majistret Illi Marisqa berkata tiada dokumen sokongan untuk membuktikan kenyataan peguam mengenai ketidakhadiran kesemua penama ke pejabat SPRM daripada surat pertama sehingga surat terakhir.
Pada 6 April, hanya seorang anak perempuan Allahyarham Tun Daim, Cik Asnida, hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 April, atas tuduhan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset oleh SPRM.

