KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah mengarahkan kakak dan sekutu rapat ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, agar membayar ganti rugi sekitar AS$3.6 bilion ($4.7 bilion) kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ganti rugi tersebut melibatkan dana yang diseleweng daripada dana kekayaan negara itu.
Hakim Mahazan Mat Taib mengeluarkan penghakiman ingkar (JID) terhadap kakak Jho Low, Low May Lin, dan sekutunya, Eric Tan, selepas mahkamah mendapati 1MDB berjaya membuktikan kes terhadap kedua-dua defendan berkenaan.
“Bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah menunjukkan satu skim pemindahan dana yang rumit, bertingkat, dalam pelbagai bentuk yang didalangi individu-individu yang memegang kuasa, dibantu oleh rangkaian entiti luar negara dan sekutu yang dipercayai, termasuk defendan-defendan ini,” kata Hakim Mahazan pada 25 November.
Mahkamah berkata pihak plaintif, iaitu 1MDB dan empat anak syarikatnya, telah mengemukakan bukti berdokumen yang kukuh, termasuk rekod bank, pengesahan Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia (Swift), borang pembukaan akaun, dokumen korporat serta carta aliran dana.
“Pihak plaintif turut memanggil tiga saksi, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Halmi; Penyiasat Penipuan Kewangan Berpangkalan di Britain, Encik Richard Templeman; dan Pakar Pemulihan Aset Luar Negara dan Rentas Sempadan, Cik Angela Barkhouse.
“Bukti mereka kekal tidak dicabar,” kata Hakim Mahazan.
Mahkamah berkata ia berpuas hati dengan bukti bahawa setiap urus niaga yang dipertikaikan melibatkan harta amanah atau aset korporat 1MDB telah dilupuskan melalui pelanggaran tanggungjawab fidusiari.
Bukti berdokumen menunjukkan bahawa Tan merupakan pemilik warisan akaun Alsen Chance dan Blackstone, yang menerima AS$2.79 bilion yang diselewengkan secara salah daripada 1MDB.
Sementara itu, May Lin menerima AS$809,319 yang dipindahkan ke dalam akaun peribadinya melalui empat pemindahan daripada bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng.
“Pemindahan ini adalah tanpa balasan, tanpa sebarang alasan komersial, dan berasal daripada dana yang diseleweng melalui struktur ‘Good Star’.
“Sebagai kakak Jho Low, peranannya sebagai penerima peribadi bagi dana yang diseleweng ini jelas merupakan sebahagian daripada corak lebih luas penyembunyian berasaskan keluarga.
“Identiti penerima, struktur urus niaga, serta peranan Jho Low dan Datuk Seri Najib Razak menunjukkan bahawa dana yang sampai kepada Tan dan May Lin merupakan hasil tercemar,” tambahnya.
Mahkamah mengarahkan May Lin membayar ganti rugi sebanyak AS$809,319 dan Tan membayar AS$2,795,333,000 kepada 1MDB, lapor The Star.
Dalam penghakiman mahkamah pada 25 November, hakim menyatakan bahawa walaupun dokumen mahkamah telah diserahkan kepada May Lin dan Tan, mereka tidak hadir, tidak mengemukakan sebarang hujah bertulis, dan tidak menghadiri perbicaraan.
Oleh yang demikian, kes ini diteruskan ke perbicaraan penuh mengikut Perintah 35 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, dan ia berjalan tanpa sebarang bantahan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg