PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menegaskan beliau tidak pernah menuntut sebarang kekebalan daripada setiap pendakwaan jenayah yang dikenakan terhadapnya, sebaliknya memohon kesaksamaan dalam perlindungan undang-undang.
Beliau berkata hakikatnya hanya dirinya seorang yang didakwa bagi kesalahan dilakukan oleh orang lain berkait empat tuduhan penyelewengan RM2.3 bilion ($700 juta) dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Menurut bekas Ahli Parlimen (AP) Pekan (Pahang) itu, pihak pendakwaan membuat pelbagai insinuasi (tuduhan tersembunyi) termasuk teori tanggungan jenayah bersama yang tidak pernah diketahui sebelum ini, seperti ‘teori imej cermin’, bahawa tindakan orang lain boleh dianggap sebagai tindakannya sendiri.
Beliau berkata bahkan, tiada seorang pun termasuk pendakwaan, yang mengetahui asas perundangan sebenar untuk menyatakan bahawa arahan orang lain adalah perlu dipertanggungjawabkan ke atas dirinya.
Encik Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata ia jelas menunjukkan sifat apakah pendakwaan terhadap dirinya, sedangkan individu lain dibiarkan (bebas) di luar kandang tertuduh, hanya untuk dimasukkan ke kandang saksi bagi memberikan keterangan terhadapnya.
Sementara itu, Encik Najib berkata bagaimana mungkin beliau dapat menyediakan pembelaan jika setiap tuduhan dikenakan terhadapnya tidak tetap dan berubah-ubah.
“Adakah saya dituduh atas satu perbuatan, atau beberapa? Atas satu keputusan, atau beberapa keputusan, atas satu peranan, atau semua peranan yang pernah saya pegang? Pertuduhan ini mengelirukan dan memudaratkan.
“Jika pendakwaan yang bersifat ‘berganda’ sebegini dibenarkan, maka tiada sesiapa pun, sama ada seorang perdana menteri atau rakyat biasa, akan dapat memastikan apakah sebenarnya tuduhan perlu dijawab dan tanpa kepastian itu, mana mungkin wujudnya keadilan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Najib berkata demikian melalui kata pengantar yang dibacakan daripada kandang tertuduh, pada awal prosiding hujahan di akhir kes pembelaan tuduhan penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada 21 Oktober.
Encik Najib turut menyatakan setiap pertuduhan jenayah pada umumnya mestilah bersifat spesifik.
“Mengapa? Kerana ia dengan jelas menyatakan kepada orang yang dituduh; inilah kesalahan yang dilakukan, inilah masanya dan inilah caranya. Tanpa penjelasan itu, tidak akan berlaku perbicaraan yang adil, hanya kekeliruan,” katanya.
Bekas Presiden Umno itu berkata mahkamah tidak pernah bertolak ansur dengan keadaan sedemikian, tetapi bagi kesnya, pendakwaan berterusan meminta berulang kali untuk melonggarkan peraturan itu dengan memutar tafsir keputusan terdahulu.
Katanya setiap tuduhan dikenakan terhadapnya menyembunyikan dakwaan lain, yang memaksanya untuk bermain teka-teki.
Encik Najib selanjutnya menyatakan, penelitian terperinci terhadap keseluruhan bukti dalam kes itu jelas menunjukkan pihak pendakwaan hanya bergantung sepenuhnya kepada keterangan ‘dengar cakap’.
Beliau berkata pendakwaan bahkan tidak memenuhi prasyarat asas bagi penerimaan keterangan `dengar cakap’ yang bersifat prejudis, dan tiada sebarang usaha dibuktikan dalam usaha mereka mencari mana-mana saksi penting terutama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Setakat rekod yang ada, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah sekalipun menyebut adanya percubaan untuk mengesan mereka sebelum memohon mahkamah ini membuat penentuan bahawa mereka sememang tidak dapat ditemukan.
“Adalah jelas mengapa keterangan dengar cakap itu ingin diterima masuk; ia adalah bagi membuktikan kebenaran dalam pernyataan diberikan Jho Low, Datuk Azlin (bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias) atau Nik Faisal (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, yang jika tidak, akan kekal sebagai ditolak, iaitu bahawa arahan atau perintah didakwa itu kononnya berpunca daripada saya,” katanya.
Mengikut tuduhan, Encik Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi tuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg