Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia terima RM20.71b penyelesaian tunai 1MDB sehingga kini

Oct 15, 2025 | 10:34 AM
Kerajaan Malaysia terima RM20.71 bilion penyelesaian tunai wang pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga kini. 
Kerajaan Malaysia terima RM20.71 bilion penyelesaian tunai wang pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga kini.  - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga kini telah mencapai penyelesaian dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.48 billion/$5.08 bilion), AmBank Group (RM2.83 bilion) dan JP Morgan (Switzerland) Ltd sebanyak RM1.4 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan semua hasil penyelesaian tunai daripada ketiga-tiga institusi kewangan berkenaan telah diterima sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah kendalian MOF.

“Pada 11 Oktober 2023, Goldman Sachs Group Inc telah memfailkan satu Permohonan Timbang Tara di London Court of International Arbitration (LCIA) terhadap Kerajaan Malaysia yang berbangkit daripada pertikaian berkaitan obligasi pihak-pihak di bawah Perjanjian Penyelesaian yang telah dimeterai pada 18 Ogos 2020 oleh Kerajaan Malaysia, 1MDB dan Goldman Sachs Group Inc (Prosiding Timbang Tara).

“Pada masa ini, Pasukan Perundangan Kerajaan Malaysia yang terdiri antara lain, daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam-peguam Inggeris yang dilantik sedang mengendalikan Prosiding Timbang Tara tersebut.

“Memandangkan pihak-pihak dalam Prosiding Timbang Tara ini adalah terikat dengan obligasi kerahsiaan yang ketat, maka sebarang maklumat terperinci berhubung Prosiding Timbang Tara ini tidak dapat didedahkan pada masa ini,” menurut MOF, lapor Berita Harian Malaysia.

Jawapan Kementerian itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong (Selangor), Cik Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan) mengenai status pemulihan aset dalam skandal 1MDB.

Baru-baru ini Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura berjaya memulihkan aset berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarganya berjumlah RM39.1 juta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan pada 10 September lalu memaklumkan pemulihan aset itu hasil daripada penyelesaian global pelucuthakan sivil terhadap Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Menurut SPRM, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat.

“Pemulangan terbaru ini serta penyelesaian sebanyak AS$330 juta dengan JPMorgan Chase & Co baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion,” menurut kenyataan itu.

Jho Low ialah seorang ahli perniagaan Malaysia yang digambarkan sebagai penasihat tidak rasmi 1MDB dan berperanan besar di belakang tabir, terutama dalam rundingan pelaburan dan pengurusan dana.

Kes 1MDB adalah antara jenayah kewangan terbesar dunia dan kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk terus membawa pulang wang serta aset yang diseleweng, selain memastikan semua individu serta institusi terbabit dipertanggungjawabkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg