KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan pendakwah, Firdaus Wong, mematuhi perintah untuk memadam video yang didakwa mempromosi penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara rahsia, sehingga lapan ibu bapa bukan Islam terbabit memfailkan saman.
Hakim Amarjeet Singh yang membuat perintah itu selepas perbicaraan inter-parte (dua belah pihak), berkata kandungan yang disiarkan Firdaus melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 12(4) menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah diputuskan oleh ibu bapa atau penjaganya, lapor portal Free Malaysia Today.
Hakim Amarjeet turut memerintahkan Firdaus supaya membayar kos RM5,000 ($1,502) kepada plaintif (ibu bapa kanak-kanak itu) dan menetapkan 29 Mac 2025 untuk mendengar saman pemula.
Hakim Amarjeet kemudian mengeluarkan perintah bahawa ex-parte (permohonan sebelah pihak tanpa kehadiran defendan) pada 16 Oktober yang memihak kepada lapan plaintif, sah selama 14 hari.
Peguam Firdaus kemudian bersetuju untuk membenarkan perintah itu terus berkuat kuasa sehingga tamat perbicaraan antara pihak terbabit pada 3 Disember.
Bagaimanapun peguam yang mewakili pempengaruh itu turut memaklumkan mahkamah bahawa video yang dimuat naik di aplikasi TikTok pada Jun telah diturunkan.
Video berkenaan memaparkan Firdaus yang juga pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) memberi arahan kepada seorang lelaki tentang cara mengendalikan permintaan daripada kanak-kanak bawah umur yang ingin memeluk Islam secara rahsia.
Banyak laporan polis dibuat terhadap Firdaus selepas video itu tular di media sosial, menyebabkan polis menyiasat pendakwah itu di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang didakwa kondusif kepada kerosakan awam.
Dalam saman itu, plaintif meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa Firdaus telah bertindak menyalahi undang-undang dalam membuat kenyataan sedemikian.
Mereka turut meminta injunksi untuk memaksanya menurunkan video yang menyinggung perasaan itu secara kekal dan menghalangnya daripada membuat kenyataan serupa pada masa akan datang.
Dalam pembelaannya, Firdaus atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Wai Hung, menafikan membuat kenyataan itu.
Firdaus juga merupakan saksi ketiga dalam kes pempengaruh dan pendakwah Ebit Lew, yang berhadapan 11 tuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp, pada 2021.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg