PUTRAJAYA: Industri media Malaysia bakal diperkukuhkan melalui penubuhan Majlis Media Malaysia oleh kerajaan, ujar Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Cik Teo Nie Ching.
Beliau berkata majlis itu adalah sokongan terhadap standard serta profesionalisme kewartawanan, dan akan turut membangunkan kod etika pelaporan dan penyediaan mekanisme aduan bebas serta telus.
Cik Teo berkata Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Februari 2025, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Madani kepada pengukuhan media.
“Majlis Media Malaysia akan menjadi platform menyelesaikan pertikaian media, meningkatkan keyakinan awam terhadap laporan berita yang sahih dan bertanggungjawab.
“RUU itu juga menggariskan fungsi, kuasa, keahlian, serta kod tingkah laku profesional pengamal media, menyumbang kepada kestabilan politik dan keselamatan negara,” katanya, lapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa pelancaran ‘Program Latihan Kecerdasan Buatan: Memperkasa Wartawan mengenai Kandungan dan Pengurusan Bilik Berita’, di Putrajaya pada 17 Disember.
RUU itu, yang bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri demi menjaga kepentingan media dan pengamal media, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 12 Disember.
Sementara itu, program latihan itu, yang dikelolakan Institut Akhbar Malaysia (MPI), merangkumi modul latihan untuk penggunaan AI dalam penyuntingan, penulisan automatik dan analisis data dalam bidang kewartawanan.
Cik Teo berkata program dua hari itu bermula 18 Disember secara berperingkat di Cyberjaya bagi wilayah Lembah Klang, Sarawak, Sabah, Johor bagi wilayah selatan; Terengganu bagi wilayan pantai timur; dan Pulau Pinang bagi wilayah utara.
“Bagi memastikan setiap pengamal media dapat mengikuti program latihan itu, MPI mengambil inisiatif membuka penyertaan mengikut wilayah.
“Dengan jumlah 120 pengamal media dan 30 pegawai SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), saya amat berharap peluang ini digunakan sebaik mungkin,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg