Maklumat jawatan tertinggi tentera bocor: Kementerian Pertahanan M’sia buat laporan polis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maklumat jawatan tertinggi tentera bocor: Kementerian Pertahanan M’sia buat laporan polis

Jan 20, 2026 | 12:55 PM

Maklumat jawatan tertinggi tentera bocor: Kementerian Pertahanan M’sia buat laporan polis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto FACEBOOK KHALED NORDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sudah membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat didakwa pergerakan kenaikan pangkat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada 18 Januari.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata maklumat itu didedahkan secara terbuka sebelum pelantikan jawatan pegawai-pegawai kanan tertinggi ATM, termasuk Panglima Angkatan Tentera (PAT), memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Keputusan mengenai pelantikan jawatan tertinggi dalam ATM mesti dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang akan memberi cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi setiap jawatan yang dibincangkan, dua atau tiga nama akan disyorkan dan bukan hanya satu nama.

“Bagaimanapun, apa yang disebarkan kepada umum hanya menyatakan satu nama, dan itu seolah-olah memberikan gambaran keputusan sudah dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Residensi Sateria @ Sungai Besi, di sini, pada 19 Januari.

Datuk Mohamed Khaled menegaskan sebarang pelantikan hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan baginda, dan pendedahan maklumat sebelum itu adalah tidak wajar.

Beliau menekankan pendedahan nama, jawatan dan pelantikan pegawai kanan ATM boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Malah, menurutnya, maklumat sedemikian tidak pernah didedahkan kerana sensitiviti perkara berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.

“Sebagai contoh, ATM tidak akan mendedahkan siapa yang memerintah kem-kem tertentu, siapa bertanggungjawab untuk unit logistik atau artileri, serta peranan operasi seseorang pegawai kanan.

“Ia kerana tindakan itu boleh mendedahkan maklumat keselamatan yang penting. Ini semua berkaitan isu keselamatan.

“Mendedahkan siapa individu-individu itu, jawatan dipegang dan bagaimana mereka bergerak, bakal membuka risiko yang sepatutnya tidak wujud,” katanya.

Pada 18 Januari, Kementerian Pertahanan dilaporkan menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat sulit berhubung urusan perjawatan strategik ATM, dalam media sosial.

Kementerian itu dipetik berkata pihaknya memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang secara terbuka dan berani menyebarkan naratif spekulasi berkaitan urusan perjawatan strategik ATM, dalam media sosial.

“(Kementerian Pertahanan) menegaskan tindakan itu, termasuk menularkan senarai nama pegawai kanan ATM, adalah satu bentuk salah laku yang jelas mencabar kewibawaan sistem pengurusan pertahanan negara.

“Tindakan mendahului proses rasmi ini bukan sahaja membuka ruang kepada persepsi negatif, malah boleh menjejaskan moral pegawai serta mengganggu gugat rantaian pemerintahan dalam ATM,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Justeru, Angkatan Pertahanan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mahupun Akta Angkatan Tentera 1972 atau Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berikutan penyebaran maklumat sulit atau dalaman kerajaan menerusi platform media sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg