Malaysia berjaya mendapatkan semula RM36.2 juta ($11 juta) aset yang dikaitkan dengan ahli kewangan buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan keluarganya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut agensi antirasuah negara itu pada 10 September.
Pemulihan terbaru itu, bersama dengan penyelesaian AS$330 juta dengan JPMorgan Chase, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang dipulihkan Malaysia dalam kes 1MDB sebanyak RM31.19 bilion, menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dicuri daripada 1MDB melalui satu skim berskala global antara 2009 dengan 2014, dengan sebahagian wang dihantar ke akaun bank luar pesisir dan syarikat-syarikat cangkang yang dikaitkan dengan Jho Low.
Jho Low membantu mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, menubuhkan 1MDB untuk mempromosikan pembangunan ekonomi.
Encik Najib dijatuhkan hukuman penjara pada 2022 selepas didapati bersalah dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg