KUALA LUMPUR: Jumlah pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) keseluruhan yang direkodkan setakat ini adalah sebanyak RM29.75 bilion ($8.91 bilion), iaitu 70 peratus daripada kira-kira RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata peratusan berkenaan mencatatkan kadar pemulihan yang sangat tinggi berbanding kadar pemulihan aset sejagat hasil daripada usaha bersepadu antara agensi penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa.
“Jumlah aset yang sudah dikembalikan adalah sebanyak RM14,670,676.61, membabitkan mata wang asing SGD1,388,122.52, AS$85,868.53, NZD 344,163.76 dan AUD 3,181,097.67.
“Dana yang diperoleh itu sudah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset di bawah Kementerian Kewangan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut kenyataan itu, sebanyak RM12,974,730.41 sudah dikembalikan kepada kerajaan hasil daripada penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat Tan Kim Loong, warga Malaysia yang dikaitkan dengan Low Taek Jho.
“Pemindahan dana ke Akaun Amanah Pemulihan Aset sudah berlaku pada 18 Februari 2025, 7 Mac 2025 dan 10 Mac 2025.
“Sejumlah RM1,695,946.20 pula sudah dipulihkan daripada Yak Yew Chee, seorang warga Singapura dan bekas pegawai bank yang telah disabitkan kesalahan di Singapura kerana pembabitannya dalam kes 1MDB dan dana berkenaan sudah dikreditkan ke Akaun Amanah Pemulihan Aset pada 21 Januari 2024,” katanya.
Katanya, kejayaan pemulihan aset berkenaan membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah.
“Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara SPRM dan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura dalam memerangi rasuah serta pengubahan wang haram.
“SPRM akan terus komited dalam usaha mendapatkan semula aset negara yang diseleweng serta bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dalam menangani kes-kes berkaitan rasuah dan jenayah kewangan,” katanya.
Sementara itu, SPRM juga memberi jaminan dan komitmen untuk terus menyiasat sebarang maklumat yang dikaitkan dengan siasatan kes membabitkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ini bermakna siasatan pihaknya tidak akan terhenti kepada perlakuan rasuah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan penemuan wang tunai serta jongkong emas bernilai RM177 juta sahaja.
“Setakat ini siasatan dan rakaman percakapan berjalan lancar.
“Sekiranya timbul isu-isu baru, saya memberi jaminan SPRM akan terus menyiasat walaupun isu itu baru timbul,” katanya.
Tan Sri Azam berkata sesi rakaman percakapan akan diteruskan kerana masih banyak perkara yang perlu disoal dan dijawab oleh perdana menteri kesembilan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg