Topik diikuti
Pergi ke BHkuMalaysia teliti kajian tular dakwa mahasiswa terlibat kegiatan tidak bermoral
Pandang serius isu penglibatan sebagai ‘sugar baby’, bakal teliti kesahihan maklumat
Malaysia teliti kajian tular dakwa mahasiswa terlibat kegiatan tidak bermoral
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan pembabitan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dalam kegiatan tidak bermoral selaku ‘sugar baby’.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata KPT memandang serius dakwaan itu dan akan meneliti kesahihan maklumat yang dikemukakan menerusi satu kajian yang tular di media sosial.
Menurut Datuk Zambry, setakat ini, pihaknya belum mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah sebenar mahasiswa yang didakwa terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu.
Kegiatan ‘sugar baby’ merujuk kepada seseorang yang menjalin hubungan dengan individu berada untuk mendapatkan bantuan kewangan, hadiah mewah, atau sokongan gaya hidup.
Hubungan sebegitu mungkin termasuk hubungan intim.
“Jadi, perkara (maklumat) itu mungkin saya akan sediakan nanti. Kalau ada (maklumat), kita akan dapatkan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat pada 27 Oktober.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tumpat dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mumtaz Md Nawi, mengenai bilangan mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Bagaimanapun, kementerian akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu termasuk jumlah mahasiswa yang didakwa terbabit.
“Kajian memang dibuat untuk kes seperti itu dan sering kali kita dengar mengenainya dalam media dan sebagainya,” kata beliau.
Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial menunjukkan jumlah pembabitan mahasiswa setiap IPT di Malaysia, dalam kegiatan selaku ‘sugar baby’.
Datuk Zambry berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan, namun, tidak menolak kemungkinan angka yang dilaporkan dalam kajian berkenaan hanya berdasarkan anggaran.
Malah katanya ia tidak semestinya mencerminkan jumlah sebenar mahasiswa yang dikatakan terbabit kegiatan ‘sugar baby’ itu.
Menurutnya, kajian yang tular itu juga perlu diteliti dari segi kaedah penyelidikan serta asas yang digunakan untuk menghasilkan angka berkenaan.
“Kita akan dapatkan jumlah sebenar, cuma kalau bergantung kepada kajian, apa yang kita hendak buat dan dalam bentuk bagaimana definisinya.
“Ataupun (ia) sekadar jangkaan, itu pun kita perlu lihat dan akan dapatkan,” katanya.
Sebelum ini, isu berkenaan turut mencetuskan perbincangan mengenai faktor yang mendorong mahasiswa terlibat dalam hubungan sedemikian, termasuk persoalan kedudukan kewangan dan sokongan kepada golongan pelajar.
Bagaimanapun, ramai berpandangan angka yang tular itu belum boleh dianggap sebagai jumlah sahih sehingga KPT mendapatkan maklumat lanjut dan mengesahkan asas kajian berkenaan.
“
“Bagaimanapun, kementerian akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu termasuk jumlah mahasiswa yang didakwa terbabit. Kajian memang dibuat untuk kes seperti itu dan sering kali kita dengar mengenainya dalam media dan sebagainya.”