Topik diikuti
Pergi ke BHkuCDA galak rakyat dewasa jalani ujian HIV sekali seumur hidup
CDA galak rakyat dewasa jalani ujian HIV sekali seumur hidup
CDA galak rakyat dewasa jalani ujian HIV sekali seumur hidup
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) yang baru ditubuhkan menyarankan semua orang dewasa berumur 21 tahun ke atas di Singapura menjalani ujian HIV (Human Immunodeficiency Disease) sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, tanpa mengira faktor risiko.
Agensi itu berkata individu yang mengetahui status HIV mereka boleh menerima rawatan awal dan mencegah penularan kepada orang lain.
“Individu yang terlibat dalam tingkah laku seksual berisiko disaran menjalani ujian HIV setiap tiga hingga enam bulan.
“Ujian kendiri HIV ialah cara cepat dan mudah untuk memeriksa keputusan HIV,” kata CDA pada 23 Mei, sambil menambah bahawa kit ujian kendiri HIV mula dijual di farmasi terpilih sejak 2025.
Cadangan itu selaras dengan sasaran 95-95-95 bagi ujian, rawatan dan pengekangan virus Program HIV/Aids Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unaids).
CDA berkata hampir 90 peratus individu yang hidup dengan HIV di Singapura mengetahui diagnosis mereka; 96 peratus daripada mereka yang disahkan positif menerima rawatan; dan 94 peratus pesakit yang menerima rawatan berjaya mengurangkan virus ke tahap tidak dapat dikesan.
Bagi mengekalkan kemajuan terhadap sasaran Unaids, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan had pengeluaran MediSave untuk ubat HIV akan dinaikkan daripada $550 kepada $850 sebulan mulai 1 Jun.
“Ini akan memudahkan pesakit mengurus perbelanjaan berulang berkaitan terapi antiretroviral (terapi untuk merawat jangkitan) dan menjadikan rawatan HIV lebih mudah diperoleh,” kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
Berucap di sebuah kongres HIV, hepatitis dan jangkitan kelamin Singapura di CDA di Novena, Cik Rahayu berkata skim bantuan seperti Dana Bantuan Ubat (MAF) dan MediFund akan membantu meringankan beban kewangan pesakit HIV.
Beliau berkata pengurangan beban kewangan pada peringkat diagnosis membolehkan pesakit memulakan rawatan segera, menggalakkan penglibatan awal dengan perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan risiko pesakit tercicir daripada rawatan.
“Pesakit juga boleh menggunakan akaun MediSave ahli keluarga untuk membayar rawatan tersebut,” katanya.
“Ini membolehkan keluarga dan insan tersayang membantu menyokong pesakit HIV dengan lebih berkesan.
“Bersama-sama, kita dapat memastikan setiap individu yang hidup dengan HIV menerima sokongan dan rawatan yang diperlukan.”
Cadangan ujian oleh CDA dibuat selepas pindaan kepada Akta Penyakit Berjangkit diluluskan di Parlimen pada 2024 bagi menggalakkan lebih ramai individu menjalani ujian dan memulakan rawatan.
Ia juga selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2024 yang mengesyorkan peluasan ujian kendiri dan perkhidmatan ujian jangkitan kelamin, untuk menamatkan epidemik HIV sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
CDA berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada pengesanan awal, memperbaiki laluan kepada penjagaan pesakit HIV dan menyokong keperluan rawatan.
Agensi itu menegaskan cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan HIV ialah dengan setia kepada pasangan atau suami/isteri sendiri serta mengelakkan seks rambang.
“Individu yang terlibat dalam tingkah laku seks berisiko, seperti mempunyai ramai pasangan seks atau terlibat dalam seks rambang atau pelacuran, amat disaran menggunakan kondom bagi mengurangkan risiko jangkitan HIV dan jangkitan kelamin lain,” kata agensi itu, sambil menambah langkah pencegahan seperti profilaksis pra-pendedahan HIV (PrEP) sangat berkesan sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan HIV menyeluruh.
CDA turut memaklumkan terdapat 166 kes baru HIV dalam kalangan warga Singapura dan penduduk tetap pada 2025, menjadikan jumlah penduduk yang diketahui hidup dengan HIV sebanyak 7,248 orang.
Bilangan kes baru HIV tahunan menurun secara beransur-ansur daripada 300 hingga 500 kes antara 2009 hingga 2019 kepada kurang daripada 200 kes setahun sejak 2024.
“Walaupun bilangan kes HIV baru meningkat sedikit pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, perubahan tahunan seperti ini dijangka. CDA akan terus memantau trend ini,” kata agensi itu, yang ditubuhkan pada 1 April 2025 di bawah MOH untuk menyelaras fungsi kesihatan awam bagi mengesan, mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.
Agensi itu berkata daripada 166 kes baru tersebut, 96.4 peratus melibatkan lelaki dan 55.4 peratus dikesan pada tahap lewat HIV, lebih tinggi berbanding 51.7 peratus pada 2024.
Hubungan seksual kekal sebagai punca utama penularan HIV, merangkumi 161 kes baru.
Penularan heteroseksual menyumbang kepada 54 kes, manakala 94 kes melibatkan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dan 13 kes melibatkan lelaki biseksual.
“Peratusan lebih tinggi lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, termasuk lelaki biseksual, dikesan melalui saringan HIV secara sukarela berbanding kes penularan heteroseksual,” kata CDA, sambil menambah bahawa kes yang dikesan melalui saringan tersebut cenderung berada pada peringkat awal jangkitan.
“Dengan rawatan awal dan berkesan, HIV boleh dikawal hingga ke tahap sangat rendah, membolehkan individu yang hidup dengan HIV menjalani kehidupan yang panjang dan sihat serta melindungi pasangan mereka daripada jangkitan,” tambah CDA.
“Individu yang hidup dengan HIV yang menerima rawatan berterusan dan mempunyai beban virus pada tahap sangat rendah selama sekurang-kurangnya enam bulan tidak mempunyai risiko menularkan virus kepada pasangan seksual mereka,” tambah agensi itu.
