Seorang lelaki meninggal dunia selepas satu pergaduhan dengan jiran di Blok 55, Lengkok Bahru, pada 20 Julai.

Polis berkata pada 21 Julai bahawa mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar 4.45 petang, 20 Julai.

Apabila tiba di tempat kejadian, polis menemui seorang lelaki berusia 59 tahun terbaring kaku di lobi lif tingkat 16.

Mangsa dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurut polis, mereka menahan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu saling mengenali.

Ketika The Straits Times (ST) mengunjungi blok tersebut pada pagi 21 Julai, koridor masih berbekas dengan kesan tapak kaki dicemari darah.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Joel memberitahu beliau mengetahui kejadian itu selepas meneliti rakaman kamera keselamatan di luar rumahnya, yang merakam audio pertengkaran antara kedua-dua lelaki itu.

Rakaman yang ditonton ST memperdengarkan kedua-dua lelaki saling menjerit, dengan seorang mengugut untuk mencederakan seorang lagi.

Pertikaian itu berlangsung selama tiga minit.

Joel, guru tuisyen privet, berkata beliau mempunyai hubungan yang baik dengan mangsa.

Menurutnya, mangsa tidak pernah berbaik dengan lelaki itu dan “sanggup menggunakan tangga untuk mengelak bertembung dengan jirannya itu”.

Seorang penduduk berusia 49 tahun yang tinggal di tingkat 15 berkata perselisihan antara kedua-dua jiran itu telah berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang tinggal selang beberapa unit di tingkat 16, sering bertengkar pada waktu pagi.

Mangsa dipercayai tinggal di unit tiga bilik, manakala jirannya tinggal di flat dua bilik.

“Mereka tidak berbaju dan saling memaki hamun dalam dialek Hokkien seawal 7.30 pagi,” katanya.

Jiran itu menambah: “Tiada siapa menyangka pergaduhan tersebut akan berakhir begini.”

Seorang lagi jiran yang enggan namanya disiarkan berkata sebilah pisau dibaling dari tingkat 16 dan jatuh di hadapan sebuah kedai kopi.

Beberapa kejadian melibatkan pisau turut dilaporkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Polis berkata terdapat 137 kejadian melibatkan pisau pada 2025, meningkat sedikit daripada 131 kes pada 2024.

Pada 24 September 2025, satu serangan akibat pertikaian bunyi bising antara jiran mengakibatkan kematian seorang wanita warga Vietnam berusia 30 tahun.

Pergaduhan itu didakwa tercetus di Blok 323, Yishun Central, apabila seorang lelaki menggunakan pisau untuk mencederakan wanita itu serta suaminya.

Lelaki itu, Koh Ah Hwee, 66 tahun, didakwa atas pertuduhan membunuh pada keesokan harinya.

Pada 26 Mei, seorang wanita berusia 21 tahun meninggal dunia selepas ditikam seorang lelaki berusia 22 tahun di Blok 248, Choa Chu Kang Avenue 2.

Lelaki itu, yang kemudian terjatuh dari blok sama, turut didakwa atas pertuduhan membunuh.

Seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia pada 9 Mac, selepas bergaduh dengan seorang lelaki berusia 48 tahun di kawasan pelacuran di Geylang.

Mangsa difahamkan mengalami kesan tikaman di dada.