Malang tidak berbau.
Dalam perjalanan menuju ke Sekolah Menengah Changkat Changi pada 17 Januari lalu, guru Bahasa Melayu dan tokoh kesusasteraan setempat, Encik Djohan Abdul Rahman, ditimpa kemalangan.
Motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta yang merempuh dari belakang.
Kerana kereta itu mara, Encik Djohan, 53 tahun, yang mesra dengan panggilan Cikgu Djohan atau Cikgu Bobo, terhimpit antara kereta itu dengan sebuah bas awam dua tingkat berwarna hijau.
Beliau mengalami luka tusukan pada betis kanannya sebesar duit syiling 20 sen yang memerlukan jahitan.
“Saya dibawa ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan baru dapat pulang ke rumah pada 19 Januari.
“Saya bukan apa... risau apabila kemalangan ini akan menjejas persiapan untuk mengasuh anak didik saya yang nak ambil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ nanti,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Menurutnya, sewaktu kejadian sekitar 4 petang, beliau dalam perjalanan pulang semula ke sekolah selepas solat Jumaat dan urusan lain bagi menemani pelajarnya ke latihan Perarakan Chingay.
“Saya keluar dari Ekspreswe Central (CTE) ke jalan susur menghala ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), berdekatan Sekolah Menengah St. Andrew’s, dan sedang menunggu lampu merah bertukar hijau.
“Oleh sebab kenderaan belum bergerak, saya mula bergerak dari lorong paling kanan, ke lorong tengah, sambil memberi isyarat kepada pemandu kereta Mercedes berwarna biru itu untuk beri saya laluan kerana perlu keluar ke PIE.
“Tiba-tiba kereta biru itu bergerak dan menyondol sebelah kanan motosikal saya ketika saya berada di belakang bas. Kereta itu terus merempuh saya hingga saya tersepit di antaranya dengan bas yang belum bergerak ketika itu.
“Apabila bas itu bergerak ke depan, barulah badan saya terlepas daripada himpitan itu dan saya terus rebah di jalan raya,” ceritanya.
Beberapa saksi menghampirinya sewaktu beliau tidak dapat menggerakkan badannya.
“Saya tidak dapat bergerak kerana kaki saya terasa sakit dan saya dalam keadaan antara sedar dengan tidak.
“Mujurlah, ramai yang berada di situ menghulurkan bantuan,” jelas Encik Djohan, yang juga merupakan antara pengasas kumpulan dikir barat di Singapura, Andika.
Seorang saksi, Encik Jacky Sharma, 31 tahun, yang juga menunggang motosikal beberapa meter di belakangnya, berkata beliau terus menghampiri Encik Djohan untuk membantunya.
“Saya diminta menelefon isterinya dan mencuba beberapa kali tetapi tidak dapat menghubungi beliau.
“Saya hantarkan beberapa keping gambar kemalangan kepadanya melalui WhatsApp. Barulah isterinya menghubungi saya dan kemudian saya dapat menerangkan situasi yang berlaku.”
Menurut Encik Djohan, beliau menunggang motosikal Suzuki Hayabusa yang tidak mungkin dapat bergerak di ruang yang sempit:
“Terdapat jarak tiga hingga empat meter antara kereta dengan belakang bas. Saya boleh mengesahkan bahawa saya berada sekurang-kurangnya dua meter dari kereta biru itu dan memberi isyarat dengan mengangguk kepadanya, sebagai tanda bahawa saya akan memasuki lorong kiri.
“Ketika itu, kereta itu terus bergerak laju ke hadapan dan merempuh saya,” kongsinya lagi.
Beliau kini dalam proses mendapatkan butiran lanjut daripada pemandu bas yang terbabit sebagai pengesahan dan bukti atas kemalangan yang menimpanya.
Polis telah mendapatkan keterangan lanjut di hospital daripada Encik Djohan dan sedang menyiasat kemalangan ini.
“Saya yakin bas itu ada kamera dengan sudut pandang belakang. Jika pemandu bas itu boleh saya hubungi, saya pasti beliau boleh berkongsi tentang kemalangan itu juga,” katanya lagi.
Dalam keadaannya yang masih belum pulih sepenuhnya, Encik Djohan, yang berdedikasi bahkan pernah menerima Anugerah Presiden Bagi Guru dan Anugerah Guru Arif Budiman 2017, tidak senang duduk diam memikirkan tentang pelajarnya yang memerlukan asuhan dan bimbingan sebelum peperiksaan besar mereka.
“Saya mahu bersama mereka dan membantu mereka dapatkan markah terbaik, untuk membantu mereka mencapai impian sambung pelajaran ke politeknik,” tambahnya, yang kini sedang cuti sakit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg