Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili, Encik Rasman Ithnain, menerima dengan hati terbuka kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 sambil menegaskan perjuangannya untuk masyarakat Sedili tidak akan berakhir.

Dalam satu kenyataan pada 13 Julai, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Sedili yang memberi sokongan sepanjang tempoh berkempen, selain menyifatkan keputusan pilihan raya sebagai amanah yang perlu dihormati.

“Saya menerima keputusan ini dengan hati yang reda dan penuh penghormatan terhadap pilihan yang telah dibuat.

“Masih ada hasrat yang belum sempat saya tunaikan untuk tanah yang saya cintai ini, khususnya buat warga Felda yang sentiasa dekat di hati saya,” katanya.

Beliau berkata perjuangan politik bukan semata-mata diukur melalui kemenangan, sebaliknya menjadi medan untuk memupuk kesabaran, keikhlasan dan istiqamah dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Tidak semua perjuangan ditakdirkan bermula dengan sebuah kemenangan.

“Ada perjuangan yang terlebih dahulu mengajar erti sabar, ikhlas dan istiqamah. Saya memilih untuk menerima semua ini sebagai satu perjalanan, bukan satu pengakhiran,” katanya.

Encik Rasman berkata sepanjang kempen, beliau berpeluang mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami pelbagai isu yang dihadapi penduduk, sekali gus menguatkan azamnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan kawasan itu.

“Saya melihat sendiri harapan di wajah rakyat. Saya mendengar keluhan, menyantuni kehidupan dan membawa bersama impian agar Sedili mampu melangkah lebih jauh.

“Walaupun amanah itu tidak menjadi milik saya kali ini, doa saya tidak pernah berubah.

“Semoga wakil rakyat yang telah dipilih dapat memikul tanggungjawab ini dengan penuh amanah, berlaku adil kepada seluruh rakyat dan terus memperjuangkan masa depan Sedili sebaik mungkin,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua penyokong, jentera dan sukarelawan yang mengorbankan masa, tenaga serta kepercayaan sepanjang kempen pilihan raya.

“Buat semua yang berdiri bersama saya, yang mengorbankan masa, tenaga, doa dan kepercayaan, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan. Kepercayaan kalian adalah amanah yang akan saya kenang sampai bila-bila.

“Mungkin nama saya tidak terpilih pada kertas keputusan. Tetapi kasih saya kepada Sedili tidak pernah terpadam. Selagi ada ruang untuk berbakti, selagi itulah saya akan terus melangkah,” katanya.

Dalam pertandingan tiga penjuru bagi DUN Sedili pada PRN Johor 2026, calon Barisan Nasional (BN), Encik Muszaide Makmor, berjaya mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 18,790 undi.

Encik Rasman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 2,577 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Encik Amirul Husni On, mendapat 693 undi.