Topik diikuti
Pergi ke BHkuPN dakwa sokongan pengundi muda semakin meningkat di Johor
PN dakwa sokongan pengundi muda semakin meningkat di Johor
Kempen beri tumpuan isu rakyat, bantah cadangan tapak pelupusan sampah di Lok Heng
PN dakwa sokongan pengundi muda semakin meningkat di Johor
Perikatan Nasional (PN) mendakwa semakin mendapat sokongan pengundi, khususnya golongan muda, sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus meningkatkan keyakinan gabungan itu untuk memberi saingan sengit pada pilihan raya kali ini.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun PN memasuki gelanggang sebagai pencabar, beliau melihat pengundi Johor semakin matang dalam membuat pilihan berdasarkan isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Kita akui Bersatu dan Perikatan Nasional masuk sebagai ‘underdog’ (bukan pilihan). Namun selepas saya menjelajah hampir ke semua daerah di Johor, saya melihat momentum yang sangat positif, khususnya dalam kalangan pengundi muda.
“Mereka mahukan perubahan yang mampu menjamin masa depan lebih baik dari segi peluang pekerjaan dan peluang baharu,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH), selepas menyertai kempen calon PN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti.
Beliau berkata PN turut mengetengahkan lebih ramai calon muda dan profesional, termasuk calon DUN Panti, Encik Mohamad Alias Rasman, yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Johor.
Menurutnya, Encik Mohamad Alias merupakan seorang peguam bela dan peguam syarii serta cucu peneroka Felda yang memahami keperluan masyarakat setempat.
“Saya percaya beliau mewakili kelompok masyarakat yang mahukan perubahan lebih signifikan untuk masa depan Panti dan Parlimen Tenggara,” katanya.
Mengulas cabaran sepanjang kempen, Datuk Azmin berkata semua pilihan raya mempunyai cabaran tersendiri, namun beliau yakin kerjasama antara jentera Bersatu dan parti komponen PN di Johor berada pada tahap baik.
“Kami bekerja sebagai satu pasukan dan mahu membawa naratif baharu kepada pengundi, terutama sekali golongan muda. Ini bukan kekangan, sebaliknya peluang untuk kami menyampaikan mesej Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau turut menegaskan PN tidak mahu terheret dalam pertelagahan politik antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada isu yang dihadapi rakyat.
“Banyak isu rakyat masih belum selesai seperti bekalan air bersih yang sering terputus, tekanan air rendah, paip lama yang belum diganti, isu lot Generasi Kedua Felda, projek perumahan yang tertangguh serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk golongan muda.
“Itulah perkara yang perlu diberi perhatian dan bukannya mencampuri urusan parti lain,” katanya.
Sementara itu, Encik Mohamad Alias berkata beliau sudah menjelajah kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN Panti dan akan meneruskan sesi bertemu pengundi sepanjang baki tempoh berkempen.
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Azmin turut menyatakan sokongan terhadap bantahan penduduk Felda Lok Heng dan Waha terhadap cadangan pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari di kawasan berkenaan.
Beliau berpendapat kerajaan negeri perlu membatalkan cadangan itu dan menggantikannya dengan penyelesaian lebih moden menggunakan teknologi mengubah sisa menjadi tenaga (WTE).
“Sebuah negeri yang mahu menjadi negeri maju tidak sepatutnya bergantung kepada teknologi pelupusan yang sudah lapuk dan boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan penduduk.
“Jika tapak pelupusan baharu diperlukan, gunakan teknologi moden seperti WTE yang sudah dilaksanakan di banyak negara maju dan pernah digunakan di Selangor,” katanya.
