Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan CEO UiTM Holdings didakwa pecah amanah RM37.37j
Peruntukkan RM37.37j untuk pelaburan penjanakuasaan elektrik solar didakwa diguna untuk bayar selain tujuan
Mantan CEO UiTM Holdings didakwa pecah amanah RM37.37j
SHAH ALAM: Mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings Sdn Bhd, Azlizan Fadzil, 53 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, pada 1 Oktober, atas tuduhan pecah amanah membabitkan RM37.37 juta ($11.68 juta), sembilan tahun lalu.
Azlizan yang berkerusi roda meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
“Tidak mengaku bersalah,” katanya yang berbaju kemeja biru cair dan dibenarkan duduk di luar kandang tertuduh, lapor Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan, Azlizan sebagai CEO UiTM Holdings diamanahkan penguasaan RM37.37 juta yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar dengan saiz 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.
Beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit dengan secara tidak jujur, menyalahgunakannya dengan membuat pelbagai pembayaran lain selain daripada tujuan ditetapkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Affin Bank Berhad Cawangan UiTM Shah Alam, di sini, antara 2 Februari dan 2 Oktober 2017.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November ini.
UiTM Holdings ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Syarikat itu dilaporkan mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM157 juta antara 2017 hingga 2021.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengarahkan penelitian terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings, menyusuli kebimbangan mengenai kerugian yang dialami syarikat berkenaan.
Datuk Anwar berkata semakan itu perlu dilakukan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM, dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari 2023, menyiasat dakwaan penyelewengan yang mengakibatkan kerugian RM157 juta oleh UiTM Holdings.
Siasatan itu memberi tumpuan kepada beberapa isu, khususnya membabitkan dana dan pelaburan yang dibuat UiTM Holdings sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman, pada 1 Oktober juga dilaporkan berkata SPRM mengesahkan terdapat isu dan kepincangan tatakelola dalam pengurusan UiTM Holdings.
Ia dikesan menerusi siasatan berhubung kerugian dialami syarikat pegangan pelaburan itu.
Menurut Datuk Abd Halim menyusuli penemuan itu, pihaknya akan mengemukakan syor penambahbaikan kepada syarikat tersebut bagi membetulkan kelompongan yang wujud.
Mengulas mengenai status siasatan kes yang bermula sejak 2023 itu, beliau berkata tindakan itu merupakan proses berterusan memandangkan sesuatu kes jenayah tidak mempunyai had tempoh.