KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada 14 September, atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan aset bernilai lebih RM860.3 juta ($267.71) antara 2015 hingga 2017.

Datuk Jamil Khir, 65 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Datuk Jamil Khir didakwa menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51, bersamaan SAR766,062,237, kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.

Bagi pertuduhan pertama, bekas Ahli Parlimen Jerai itu didakwa menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM42,942,074, bersamaan SAR44.17 juta, lapor Berita Harian Malaysia.

Pertuduhan kedua membabitkan RM288,172,134.64, bersamaan SAR250,041,622, manakala pertuduhan ketiga membabitkan RM529,194,561.87, bersamaan SAR471,848,615.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kompleks Islam Putrajaya, masing-masing pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, kerana menyalahgunakan harta dengan curang atau secara tidak jujur, yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Rosli kemudian membenarkan Datuk Jamil Khir yang juga bekas Mejar Jeneral tentera diikat jamin RM300,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya pasport Datuk Jamil Khir disimpan di mahkamah dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Menteri Kewangan II Malaysia, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dilaporkan berkata Lembaga TH mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda) merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan berkenaan.

Katanya kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.