SERDANG (Selangor): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan siasatan dan pendedahan berkaitan isu tatakelola membabitkan beberapa agensi kerajaan termasuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) serta Lembaga Tabung Haji (TH), bukan sekadar polemik politik atau bersifat iri hati dan dendam.

Sebaliknya, Datuk Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata langkah itu adalah tanggungjawab beliau selaku pemimpin untuk memastikan pemerintahan negara berjalan mengikut perundangan serta membebaskan Malaysia daripada sebarang kecurangan.

“Jangan politikkan (isu ini). Fikirkanlah, yang siasat bukan saya, ia adalah badan penguatkuasaan.

“Yang memutuskan untuk mendakwa itu juga adalah Peguam Negara, malah mereka ada pasukan yang meneliti setiap kes, manakala yang menghukum itu pula hakim,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor, pada 6 September.

Menurut Datuk Anwar, seperti disebut beliau beberapa kali sebelum ini, usaha menangani rasuah dan penyelewengan bukannya mudah dan tidak disambut semua.

Katanya jika berterusan ia boleh menjadi satu polemik politik yang merugikan.

“Jadi tugas saya dan rakan-rakan ialah memastikan pemerintahan ikut hukum itu berjalan. Penyelewengan dan rasuah dihentikan.

“Ini kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat bawahan, jadi kita harus bantu dengan bersihkan negara ini dari segala kecurangan.

“Kalau tidak, tiap kali (ada pendakwaan) ada yang akan kata ini balas dendam, ini zalim, ini hasad, ini dengki,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Anwar turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat proses berkaitan kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah.

Datuk Anwar berkata kelewatan itu menjejaskan pesawah yang sudah menyuarakan kebimbangan dan menyerahkan memorandum kepadanya.

Beliau berkata kerajaan perlu mengenal pasti punca kelewatan berkenaan, termasuk syarikat yang dipertanggungjawabkan mengagihkan baja dan sama ada syarikat terbabit memenuhi tanggungjawabnya.

“Kita perlu tahu apa puncanya. Syarikat mana yang diberi tanggungjawab, adakah mereka menunaikan janji atau tidak,” katanya.

Datuk Anwar juga mendesak tindakan penguatkuasaan diambil jika perlu, termasuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke mahkamah atau mendakwa mereka.

Pada Ogos, Sekretariat Penerangan Kedah Darul Aman melaporkan kelewatan bekalan baja bersubsidi, ditambah dengan kekosongan hampir tiga bulan jawatan pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), yang menjejaskan penanaman padi dan meningkatkan tekanan terhadap pesawah.

Sekretariat itu memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh (Kedah), Encik Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, sebagai berkata kelemahan tadbir urus, khususnya di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, menyebabkan masalah berlarutan berkaitan input pertanian gagal diselesaikan secara berkesan.

Encik Ashraf berkata sehingga 29 Jun lalu, hanya 37,560 beg Baja Sebatian Padi Tambahan 3 diterima, iaitu hanya enam peratus daripada keseluruhan keperluan sebanyak 616,015 beg.

Daripada jumlah itu, hanya 30,799 beg diagihkan, menyebabkan kekurangan dianggarkan sebanyak 160,000 beg.