Konflik gajah liar yang semakin kerap memasuki kampung dan merosakkan tanaman penduduk menjadi antara keutamaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, Encik Mazlan Bujang, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mantan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor itu berkata isu berkenaan kini semakin membimbangkan terutama di kampung yang terletak berhampiran kawasan hutan apabila haiwan berkenaan didakwa hampir setiap hari menceroboh kebun milik penduduk.

“Isu yang besar ialah masalah gajah. Gajah ini sudah terlalu kerap masuk ke kawasan Kahang, terutama kampung yang berhampiran hutan.

“Tanaman penduduk seperti kelapa sawit dan dusun durian rosak akibat diceroboh gajah.

“Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan akan saya perjuangkan jika diberi mandat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Mazlan, yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Kebudayaan Johor, berkata selain konflik hidupan liar, isu tanah yang masih tidak mempunyai status hak milik turut menjadi antara aduan utama diterimanya sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata masalah itu membabitkan beberapa penempatan termasuk Kampung Gajah dan Kampung Lukut yang memerlukan penyelesaian segera bagi memberi kepastian kepada penduduk.

Menurutnya, keperluan perumahan untuk generasi kedua juga perlu diberi perhatian memandangkan penyediaan rumah di kawasan Kahang masih jauh ketinggalan berbanding kawasan berdekatan.

“Golongan muda di sini amat memerlukan peluang memiliki rumah sendiri. Kemudahan perumahan generasi kedua di Kahang masih kurang jika dibandingkan dengan kawasan jiran seperti Tenggara,” katanya.

Encik Mazlan, yang pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri, berkata pengalaman dalam pentadbiran kerajaan menjadi kelebihan untuk membantunya memahami prosedur serta tatakelola pentadbiran dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

“Saya ada sedikit pengalaman sebagai Exco dan wakil rakyat. Pengalaman itu membantu saya memahami bagaimana sesuatu masalah boleh diselesaikan mengikut saluran yang betul,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Encik Mazlan, yang baru menyertai Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebelum dicalonkan PN, berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Encik V. Rugendran, dan calon Pakatan Harapan (PH), Encik Mohd Sabri Abd Kadir.

Mengulas perkembangan kempen, beliau berkata sambutan diterima daripada pengundi, khususnya di Kahang, semakin memberangsangkan dan menunjukkan perubahan positif.

“Saya dapat melihat perubahan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Sambutannya positif dan saya yakin ada pembaharuan yang sedang berlaku di Kahang,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi muda yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memastikan kadar keluar mengundi lebih tinggi.

“Saya berharap pengundi muda yang berada di luar dapat pulang mengundi supaya keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan hasrat rakyat Kahang,” katanya.

Encik Mazlan berkata tawaran beliau kepada penduduk adalah ringkas, iaitu memberikan khidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat sekiranya dipilih.

“Beri saya peluang. Saya akan berkhidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat DUN Kahang kerana tugas wakil rakyat adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.