Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAS kemuka 11 calon wakil PN di Johor
PAS kemuka 11 calon wakil PN di Johor
PAS kemuka 11 calon wakil PN di Johor
MUAR: Parti Islam SeMalaysia (PAS) menampilkan sembilan muka baharu daripada 11 calon yang diumum bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai.
Mereka termasuk mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa dari Umno, Encik Mazlan Bujang yang sebelum ini mewakili Umno, selain Encik Saifullah Abdul Wahab yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah; Encik Arshed Yahya (Simpang Jeram); Encik Mohamad Anuar Hayan (Maharani) dan Encik Muhammad Amin Saillan @ Sazali (Sungai Balang).
Turut dicalonkan Encik Ahmad Rosdi Bahari (Sri Medan); Encik Mazlan (Kahang); Encik Hasnul Hakimi Hussien (Endau); Cik Yuhanita Yunan (Pasir Raja) dan Encik Khirul-Muntanazar Ismail (Tiram).
Dua mantan calon, Cik Normala Sudirman dan Encik Halim @ Othman Kepol pula masing-masing diletakkan di DUN Tenang dan Semerah.
Kesemua sembilan calon lelaki dan dua wanita itu berusia antara 30 hingga 61 tahun, lapor Harian Metro.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kebanyakan calon berkenaan mempunyai latar belakang berbeza dan memiliki pelbagai pengalaman.
“Ada calon pernah bertanding sebelum ini namun bertanding di kerusi berbeza pada PRN kali ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PAS Yang Mewakili PN bagi PRN Johor di Muar, Johor pada 25 Jun.
Turut hadir ialah Ketua Penerangan PN merangkap Pengarah PRN Johor Ke-16, Tan Sri Annuar Musa dan Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Sementara itu, Datuk Ahmad Samsuri, berkata PAS sudah membuat pertimbangan sebelum meletakkan calon di kesemua 11 kerusi terbabit.
“Keputusan bertanding dibuat berdasarkan kesesuaian dan potensi kawasan ditandingi berbeza dengan senario empat atau lima tahun lalu.
“PAS akan menggunakan logo PN untuk berkempen dan begitu juga dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.
Sementara itu, Encik Mazlan yang juga mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, yang meninggalkan Bersatu pada 2022, diumumkan sebagai calon PAS bagi kerusi DUN Kahang.
Datuk Ahmad Samsuri berkata, Encik Mazlan yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Kebudayaan Johor, baru menyertai PAS pada pagi 24 Jun sebelum dipilih sebagai calon parti itu.
