Mantan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun, Tun Abdul Taib Mahmud, meninggal dunia pada 4.40 pagi 21 Februari di Kuala Lumpur.
Berita pemergian Allahyarham yang juga mantan Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh selama 10 tahun itu disahkan oleh anak perempuannya yang juga Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
“Kembalinya ayahanda yang dikasihi, Tun Abdul Taib Mahmud kepada penciptaNya, lebih kurang 4.40 pagi, 21 Februari 2024.
“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak.
“Semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang beriman dan beramal soleh,” tulisnya di Facebook pada 21 Februari.
Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 87 tahun terdahulu dibawa oleh isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, untuk menjalani rawatan di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.
Sementara itu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan penghormatan terakhir terhadap tokoh itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg