Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Menteri M’sia beri keterangan berkait kes khalwat lebih 3 jam
Mantan Menteri M’sia beri keterangan berkait kes khalwat lebih 3 jam
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, tampil memberikan keterangan lebih tiga jam kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 27 Oktober, berhubung siasatan kes khalwat yang dikaitkan dengannya.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang digantung selama tiga bulan sehingga 19 Januari 2027 itu tiba di pekarangan pejabat Jais di Shah Alam, Selangor, pada 9.15 pagi, sebelum keluar pada 11.30 pagi.
Peguam Syarie, Encik Muhammad Amirul Ashraf A Ghani, berkata anak guamnya itu kemudian kembali semula ke pejabat Jais pada 12 tengah hari hingga 1.30 petang, untuk menyambung keterangan.
Katanya kehadiran mantan Ahli Parlimen Setiawangsa itu untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 29E Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Beliau berkata keterangan Nik Nazmi dan wanita yang dikaitkan dalam kes berkenaan diambil secara berasingan.
“Lebih tiga jam beliau hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Dari sudut siasatan, kita sudah memberikan kerjasama.
“Jadi, kami menunggu sama ada pertuduhan akan dibuat atau tidak. Perkara itu akan ditentukan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan Jais, pada 27 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengulas kemungkinan tindakan diambil terhadap individu yang didakwa mengintip pergerakan Nik Nazmi sebelum menyebarkan video berkaitan, Encik Amirul berkata perkara itu akan dibangkitkan kemudian.
Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, mengesahkan kehadiran ahli politik itu di ibu pejabat jabatan itu, namun enggan mengulas lanjut.
Media sebelum ini melaporkan Nik Nazmi mengesahkan dirinya individu yang ditahan Jais dalam kes berdua-duaan dengan seorang wanita bukan mahram di sebuah tempat tertutup di Petaling Jaya, Selangor, pada 6 petang, 15 Oktober lalu.
Nik Nazmi yang juga mantan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata kejadian itu berlaku ketika beliau bersama rakan-rakan mengadakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur.
Mereka kemudian memutuskan untuk meneruskan perbincangan di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Beliau berkata ketika pegawai Jais tiba, hanya beliau dan wanita yang ditahan bersamanya berada di premis berkenaan.