Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Pengerusi Tabung Haji didakwa salah guna kuasa, yakinkan pelaburan RM193.5j
Salah guna kuasa untuk terima suapan dalam bentuk jawatan pengerusi syarikat dengan ganjaran RM 690,000 setahun, kereta BMW
Mantan Pengerusi Tabung Haji didakwa salah guna kuasa, yakinkan pelaburan RM193.5j
KUALA LUMPUR: Mantan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 September, atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000 ($215,972), pada 2014.
Terdahulu pada hari sama, Datuk Abdul Azeez dan dua bekas pegawai TH direman dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.
Dalam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Datuk Abdul Azeez, 60 tahun, mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Datuk Abdul Azeez, didakwa menyalahgunakan jawatannya sebagai pengerusi TH pada 2014, untuk menerima suapan berupa jawatan pengerusi Putrajaya Perdana.
Jawatan itu menawarkan ganjaran RM690,000 setahun, sebuah kereta BMW Siri 7 serta pemandu peribadi, lapor portal berita, Malaysiakini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mantan Ahli Parlimen Baling (Kedah) itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan dengan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, untuk melantik dirinya sebagai wakil dana tabung berkenaan dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Dalam pertuduhan sama, Datuk Abdul Azeez turut didakwa mengarahkan Tan Sri Ismee memujuk anggota Lembaga TH yang lain dalam satu mesyuarat , supaya meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Pelaburan itu merangkumi sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada syarikat berkenaan, yang didakwa mempunyai kepentingan dengan Datuk Abdul Azeez.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu dituduh melakukan kesalahan itu di bilik mesyuarat Lembaga TH di pejabat institusi berkenaan di Kuala Lumpur, pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudiannya membenarkan Datuk Abdul Azeez diikat jamin RM450,000 dengan dua penjamin warga Malaysia, serta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap tiga bulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 11 November ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Sementara itu pada prosiding reman, selain Datuk Abdul Azeez, turut direman seorang lelaki yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH dan seorang wanita yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan TH.
Datuk Abdul Azeez telah disiasat SPRM berkait isu operasi TH sejak 2018, namun beliau mendakwa telah menerima surat rasmi daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2021, Tan Sri Azam Baki, yang menyatakan bahawa tidak ada salah guna kuasa atau penyelewengan yang berlaku.
