Topik diikuti
Pergi ke BHkuAP Muar Syed Saddiq kekal bebas sabit tuduhan pecah amanah
AP Muar Syed Saddiq kekal bebas sabit tuduhan pecah amanah
Penantian enam tahun berakhir selepas Mahkamah Persekutuan sahkan keputusan Mahkamah Rayuan
AP Muar Syed Saddiq kekal bebas sabit tuduhan pecah amanah
Penantian enam tahun berakhir buat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila beliau bebas sepenuhnya daripada pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, selepas Mahkamah Persekutuan pada 13 Julai, mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Dalam keputusan majoriti 2-1, panel hakim mendapati Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang betul dalam membebaskan mantan Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun 2025, daripada semua pertuduhan terbabit yang melibatkan dana Armada (Pemuda) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Keputusan akhir itu disampaikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dua hakim iaitu Datuk Che Mohd Ruzima dan Datuk Collin berpendapat ahli politik berusia 34 tahun itu wajar dilepas dan dibebaskan, sementara Datuk Abu Bakar adalah satu-satunya yang tidak bersetuju.
Keputusan majoriti itu juga menyaksikan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta ($3.17 juta) oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini juga ditolak.
“Kamu kekal dilepas dan dibebaskan,” kata Datuk Abu Bakar membacakan keputusan itu.
Pihak pendakwaan pada 26 Jun 2025 memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sehari sebelumnya, yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Tangisan dan pelukan kegembiraan ahli keluarga, sahabat dan penyokong mengiringi keputusan yang membersihkan nama Syed Saddiq, yang turut ditemani kedua ibu bapa, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Alsagoff serta tunangnya, penyanyi dan pelakon Malaysia, Bella Astillah.
Pada sidang media selepas keputusan itu, Syed Saddiq merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama kedua ibu bapa, keluarga dan Bella, selain warga Muar, Johor, yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan sepanjang beliau berdepan perbicaraan di mahkamah.
Malah, beliau juga merancang mengadakan majlis kesyukuran di Parlimen Muar, bagi menghargai sokongan warga Muar terhadapnya.
“Mungkin hujung minggu ini sebab sekarang ada Parlimen, insya-Allah,” katanya.
Mantan Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan pembebasannya sebagai satu kelegaan besar, selain menjadi peringatan supaya semua pihak terus mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman.
Pada masa sama, Syed Saddiq berharap tiada lagi mana-mana individu menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik hanya kerana perbezaan fahaman.
“Perjalanan enam tahun (kes) itu sangat lama. Apabila saya imbau semula sejak awal sebelum diheret ke mahkamah dan ketika masih pada peringkat siasatan, saya tidak takut, tidak menggunakan jalan pintas serta tidak minta layanan istimewa kerana saya tahu berada di pihak yang benar,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan terutama ikatan perkahwinan dengan Bella yang menjadi tunangannya sejak 28 Mac, Syed Saddiq berkata ibu bapanya sudah memberi isyarat positif agar beliau dan Bella bernikah, selepas selesai prosiding di Mahkamah Persekutuan.
"Selepas selesai sujud syukur tadi, ibu bapa saya sudah memberi isyarat positif untuk saya meneruskan langkah seterusnya.
“Hari ini saya hanya mahu meluangkan masa bersama keluarga dan menguruskan kehidupan peribadi saya dahulu, selebihnya mungkin kita boleh cakap mengenainya pada sesi siaran langsung (TikTok) nanti," ujarnya.
Namun kemudian, Syed Saddiq tidak menolak akan mempercepatkan pernikahan mereka berbanding perancangan asal pada akhir 2026.
Mengenai masa depan politiknya, Syed Saddiq menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan Muda, namun memerlukan sedikit masa sebelum membuat sebarang keputusan mengenai langkah politik seterusnya.
Dalam pada itu Bella yang setia menemani Syed Saddiq pada setiap prosiding mahkamah dihadapinya menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang memihak kepada bakal suaminya itu.
"Saya sangat bahagia dan paling membuatkan saya lega serta tenang sebab saya tahu mama dan abuya (bapa Syed Saddiq) akan sangat gembira dan tak susah hati lagi," ujarnya.
