Pergerakan Pemuda Umno Johor membuat laporan polis terhadap mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, susulan dakwaannya yang mengaitkan Institusi Diraja dengan urusan politik Umno Johor.

Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata tindakan itu diambil kerana kenyataan Datuk Mohd Puad berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor disifatkan berpotensi menimbulkan persepsi bahawa Institusi Diraja campur tangan dalam urusan politik negeri.

Beliau berkata Pemuda Umno Johor menghormati keputusan Datuk Mohd Puad meninggalkan parti, namun tidak bersetuju dengan alasan yang dikemukakan sehingga mengheret Institusi Diraja ke dalam pertikaian politik.

“Kita menghormati keputusan beliau untuk keluar parti, tetapi kita tidak selesa dengan alasan yang diberikan kerana ia seolah-olah mengheret Institusi Diraja dalam isu politik yang sepatutnya diselesaikan dalam kalangan ahli politik sendiri,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis pada 25 Jun.

Menurut Encik Noor Azleen, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kenyataan berkenaan, termasuk kemungkinan kesalahan di bawah Akta Hasutan serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.

Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros (tengah), berkata laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kenyataan berkenaan.
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros (tengah), berkata laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kenyataan berkenaan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau berkata kenyataan sedemikian berpotensi menghasut, menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap Institusi Diraja serta mengganggu ketenteraman awam, terutama ketika parti sedang membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jelasnya, seluruh Pergerakan Pemuda Umno di 26 bahagian di Johor turut digerakkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara sama.

Encik Noor Azleen turut menyifatkan tindakan Datuk Mohd Puad mengumumkan keluar Umno ketika jentera parti sedang bersiap sedia menghadapi PRN sebagai sesuatu yang mengecewakan.

“Calon telah diputuskan oleh pucuk pimpinan parti. Sebagai orang parti, kita perlu akur kepada keputusan itu dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa Datuk Mohd Puad kecewa kerana anaknya tidak dipilih sebagai calon, Encik Noor Azleen berkata pencalonan adalah hak mutlak parti dan bukannya hak penyandang atau mana-mana individu.

“Kerusi adalah hak parti. Apabila seseorang membuat keputusan tidak lagi bertanding, maka kepimpinan parti mempunyai prerogatif untuk menentukan calon yang difikirkan paling sesuai,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Datuk Mohd Puad meninggalkan parti, namun menyifatkan alasan yang diberikan sebagai tidak berasas.

Beliau mendakwa Datuk Mohd Puad sebelum ini pernah mengutus surat kepadanya dengan syarat anaknya dicalonkan menggantikan beliau di kerusi DUN Rengit, dan mengugut akan keluar parti sekiranya perkara itu tidak dipenuhi.

“Benar anak beliau masih muda dan berpotensi, namun parti perlu mengambil kira pelbagai faktor dalam pemilihan calon. Umno bukan parti warisan anak-beranak yang mesti mengutamakan keluarga untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Datuk Asyraf berkata perjuangan Umno jauh lebih besar daripada kepentingan individu dan mana-mana pemimpin tidak seharusnya mengugut atau menyerang parti hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu kenyataan menafikan bahawa dakwaan beliau pernah memaklumkan kepada Datuk Mohd Puad bahawa pihak istana “mengarahkan” pembubaran Dewan Negeri Johor adalah tidak benar.