KUDAT (Sabah): Kira-kira 1,000 penyu dibunuh, dengan dagingnya dikeringkan untuk tujuan diseludup keluar bagi memenuhi permintaan pasaran dari negara luar.
Bagaimanapun, kegiatan menyeludup daging dari haiwan spesies terancam itu berjaya dipatahkan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat di Sabah, dalam Op Pluto Timur/Op Tiris di perairan Kampung Tajau Laut, Kudat, pada 28 Mei.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne, berkata dalam kejadian pada 10.27 malam itu, pasukannya yang sedang melakukan rondaan berjaya mengesan sebuah bot sedang menjalankan kegiatan mencurigakan.
“Pasukan rondaan kemudian bergerak ke lokasi, namun disebabkan keadaan kawasan yang cetek menyukarkan bot ronda menghampiri bot tersebut untuk diperiksa.
“Suspek yang menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia bertindak melarikan diri dari kawasan tersebut dan meninggalkan guni yang diletakkan di tepi pantai berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurut Encik Maurice, aset dari darat telah diatur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan kerana bot ronda tidak dapat merapat di kawasan pantai tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemui 51 guni berisi daging penyu kering yang dianggarkan seberat 765 kilogram dan daripada jumlah itu, dianggarkan 1,000 ekor penyu telah dibunuh oleh sindiket ini.
“Selain itu, 19 guni balat (hidupan laut spesies gamat) juga turut ditemui. Kesemua barang yang ditemui tidak sempat dipunggah masuk ke dalam bot suspek dan dipercayai cuba diseludup untuk pasaran negara luar,” katanya.
Encik Maurice berkata nilai keseluruhan barang rampasan tersebut dianggarkan lebih RM500,000 ($143,000).
“Semua barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam),” katanya.
Sebelum itu, Encik Maurice mengingatkan masyarakat maritim di Kudat supaya bertindak melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg