Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid, surau di Batu Pahat terbakar disyaki angkara khianat

Jan 16, 2024 | 12:44 PM
PERBUATAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB: Pengerusi Masjid Kampung Parit Simis di Seri Medan, Batu Pahat, Johor, Encik Mat Sunari Paiman, menunjukkan keadaan dalaman masjid yang rosak teruk akibat kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat pada 14 Januari.
PERBUATAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB: Pengerusi Masjid Kampung Parit Simis di Seri Medan, Batu Pahat, Johor, Encik Mat Sunari Paiman, menunjukkan keadaan dalaman masjid yang rosak teruk akibat kebakaran disyaki angkara perbuatan khianat pada 14 Januari. - Foto FACEBOOK PARIT RAJA AYER HITAM

BATU PAHAT: Masjid Kampung Parit Simis di Seri Medan, Batu Pahat, Johor, kerugian kira-kira RM150,000 ($42,738) selepas kerosakan teruk akibat sebahagian besar ruang dan peralatan termasuk mimbar terbakar, disyaki angkara perbuatan khianat.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam, 14 Januari, pihak berkuasa menemui bahan bukti berupa kesan petrol di bahagian bawah permaidani masjid, selain penyapu lidi yang dipercayai digunakan untuk menyalakan api.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya Ismail Dollah, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian pada 11.30 malam, 14 Januari.

Beliau berkata penduduk kampung berhampiran bertungkus-lumus membantu memadam kebakaran menggunakan air sebelum ketibaan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan api berjaya dipadamkan 15 minit kemudian.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada permaidani, sejadah, pendingin hawa dan mimbar masjid terbakar.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan jika terdapat unsur jenayah. Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan ke mana-mana balai berhampiran atau Balai Polis Seri Medan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 16 Januari.

Dalam satu kejadian berasingan, Malaysia Gazette turut melaporkan sebuah surau di Kampung Parit Bangas, Seri Medan, Batu Pahat, turut mengalami kejadian sama pada 15 Januari malam, yang merosakkan beberapa bahagian surau berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Masjid Kampung Parit Simis, Encik Mat Sunari Paiman, berkata kebakaran itu turut menyebabkan lapan pendingin hawa yang baru dipasang tidak sampai sebulan musnah.

“Mimbar untuk kegunaan membaca khutbah yang tidak sampai setahun dipasang juga musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Encik Mat Sunari berkata solat Jumaat pada 12 Januari lalu adalah yang terakhir buat penduduk sebelum masjid berkenaan terbakar.

“Kebakaran disedari pada 10.45 malam oleh seorang rakan yang mahu membuang air di masjid ini sebelum ternampak api di ruang solat jemaah, sebelum memberitahu penduduk.

“Penduduk kemudian membantu memadam kebakaran. Anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati ada bau petrol dan sudah mengambil sampel untuk dianalisis,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg