Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mata hati jemaah haji M’sia tajam bayangkan Kaabah walau buta kerana glaukoma

Guru pesara ingin doa daya penglihatan kembali semula meski reda dengan ketentuan
May 30, 2025 | 11:23 PM
Buta, haji, glaukoma, Braille, Makkah
Cik Nor Salehah Mohd Isa (kiri) menunjukkan cara menggunakan Al-Quran Braille kepada ibunya, Cik Zawiah Mohamad (dua dari kiri), yang tidak dapat melihat kerana penyakit glaukoma sejak usianya 24 tahun. Bersama mereka untuk menunaikan haji ialah suami Cik Zawiah, Encik Mohd Isa Yakob (dua dari kanan) dan seorang lagi anak Cik Zawiah, Cik Faizah Suaida. - Foto SINAR HARIAN

MAKKAH: Seorang guru pesara dari Malaysia bersyukur kerana dipilih menjadi tetamu Allah biarpun tidak lagi dapat melihat Kaabah secara fizikal.

Jemaah haji cacat penglihatan, Cik Zawiah Mohamad, 62 tahun, berkata beliau pernah ke tanah suci menunaikan umrah pada 2016 bersama suami dan anak bongsunya, Cik Faizah Suaida, 25 tahun.

Katanya, tahun ini (2025) beliau bersyukur dipanggil menunaikan haji bersama suami dan dua daripada empat anaknya.

Menurutnya, walaupun tidak dapat melihat Kaabah secara fizikal, namun gambaran yang pernah dilihat sebelum ini kekal terpahat di hati.

“Sebelum buta, mak cik pernah lihat Kaabah dalam gambar, namun masa tunaikan umrah makcik dah tak boleh melihat kerana sudah disahkan buta sejak berusia 24 tahun.

“Mak cik tak pernah menyalahkan takdir, malah terus bersyukur kerana masih diberi nyawa hingga ke hari ini,” katanya kepada laman Sinar Harian.

Mengimbas semula detik kehilangan penglihatan, Cik Zawiah berkata beliau dilahirkan normal dan boleh melihat sebelum ini.

Namun takdir Allah menentukan beliau disahkan menghidap penyakit glaukoma sejak zaman persekolahan.

Cik Zawiah berkata keadaan menjadi semakin teruk apabila beliau mengandungkan anak sulungnya.

“Masa tu saya alami alahan teruk. Pening, demam, tak boleh bangun malah nak celik mata pun rasa pedih macam dicucuk jarum.

“Bila dapat buka mata rasa sakit sudah tiada tetapi semua nampak gelap. Tangan sendiri pun dah tak nampak,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriyah di Makkah.

Beliau yang tidak pernah melihat wajah keempat-empat anaknya berkata doktor memaklumkan keadaan itu adalah tanda-tanda akhir penyakit glaukoma yang dihidapinya.

“Penyakit glaukoma ni, kalau kena zaman sekarang okey, macam barah juga ada ubat. Tapi mak cik kena zaman dulu tiada ubat yang betul-betul khusus lagi.

“Apapun makcik bersyukur selepas tak nampak, makcik rasakan Allah beri mata hati yang lebih bagus daripada masa dapat melihat dulu,” katanya.

Nenek kepada enam cucu itu berkata menjadi antara doanya di tanah suci supaya diberi penglihatan semula.

“Kalau baik untuk mak cik dapat semula penglihatan, makcik mohon. Tapi kalau lebih baik untuk makcik dalam keadaan begini, makcik reda,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Encik Mohd Isa Yakob, 62 tahun, mengakui tidak pernah terlintas untuk meninggalkan isterinya meskipun mengetahui lebih awal wanita itu diuji dengan kesihatan sebelum berkahwin.

“Kami dah 38 tahun berkahwin. Masa saya tahu isteri ada glaukoma, saya reda. Bagi saya isteri ini adalah amanah. Kita kena jaga,” katanya.

Bekas juruteknik berasal dari Perak itu berkata kekuatan sebenar rumah tangga mereka terletak pada ketegasan dan peranan besar yang dimainkan Cik Zawiah dalam membesarkan anak-anak.

“Saya kerja, dia jaga rumah dan anak-anak. Dia kawal semua. Jadi, saya pergi kerja pun hati tenang,” katanya.

Anak kedua pasangan itu, Cik Nor Salehah, 36 tahun, yang merupakan pengiring Cik Zawiah dalam ibadah haji tahun ini (2025) berkata beliau sudah biasa menemani ibunya ke mana sahaja.

“Sejak kecil memang saya dengan mak. Bila dapat kerja di Selangor pun, saya mohon tukar balik ke Terengganu sebab mak,” katanya.

Cik Nor Salehah turut mengakui pernah berdoa agar Allah memulangkan semula penglihatan ibunya, namun akhirnya reda dengan ketentuan.

“Saya cuma nak jadi anak yang terbaik. Masa di Masjidil Haram, saya pesan satu je pada mak, ‘Mak, pegang saja tangan saya. Jangan lepas.’

“Saya harap Allah beri kekuatan kepada saya untuk bawa mak sempurnakan haji,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg