Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga guna video, buku persiap anak autistik tunai haji

GSA terima jemaah istimewa selagi individu sihat, boleh ikut arahan tunai ibadah bersama
May 27, 2025 | 5:30 AM
Encik Mohamad Rausyan Mohamad Ya’acob, autisme, Mohamad Iswandy Mohamad Ya’acob, Cik Sumpina Taib,  Mohamad Ya’acob Madon
Encik Mohamad Rausyan Mohamad Ya’acob (dua dari kiri), yang mempunyai autisme serta mengalami masalah pemahaman bahasa yang ketara sejak kecil, mempersiap diri bagi ibadah haji sejak Oktober 2024. Beliau dibantu oleh abangnya, Encik Mohamad Iswandy Mohamad Ya’acob (kiri); ibu, Cik Sumpina Taib dan ayah, Encik Mohamad Ya’acob Madon. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menonton video haji di YouTube, membaca buku bergambar tentang ibadah haji, dan menyalin doa dalam tulisan Rumi hampir setiap hari mungkin bukan persiapan biasa bagi kebanyakan bakal jemaah.

Namun, itulah rutin yang diamalkan Cik Sumpina Taib dan anak istimewanya yang mempunyai autisme, Encik Mohamad Rausyan Mohamad Ya’acob, sejak diberitahu pada Oktober 2024, mereka antara jemaah yang bakal menunaikan ibadah haji pada tahun berikutnya (2025).

Bersama anggota keluarga lain, kededua ibu dan anak berkongsi perasaan teruja sebelum mereka berangkat ke tanah suci pada penghujung Mei 2025.

Namun, Cik Sumpina, 59 tahun, seorang pembantu sambilan di Pusat Pembelajaran Kumon, sedar bahawa persiapan untuk anaknya memerlukan pendekatan lebih halus lagi menyeluruh.

Encik Rausyan, 30 tahun, anak bongsu dalam dua beradik, mempunyai Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) dan kesulitan memahami bahasa pertuturan yang ketara sejak kecil.

Perbualan dengannya perlu dipermudahkan dengan bantuan visual seperti gambar dan lukisan.

“Setakat ini, tahap pertuturan beliau seakan seorang budak sekolah rendah.

“Kalau ditanya soalan besar seperti ‘Apa yang kamu buat hari ini?’, dia akan keliru. Tapi kalau kita tanya satu-satu – ‘Kamu makan apa?’, ‘Kamu pergi mana?’ – barulah dia boleh jawab,” tambahnya.

Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa ini bukan alasan untuk Encik Rausyan diketepikan daripada menyempurnakan rukun Islam kelima, iaitu menunaikan haji.

“Kami tahu mengerjakan haji bukan mudah, lebih-lebih lagi dengan keadaannya yang berkeperluan khas.

“Tapi kami percaya, kalau diberi sokongan dan kasih sayang yang cukup, dia boleh lalui ibadah ini seperti orang lain juga,” ujar Cik Sumpina.

Antara cara Encik Rausyan dipersiapkan sejak 2024 adalah dengan menggunakan video, ilustrasi dan buku bergambar.

“Pendekatan visual sangat penting bagi individu autistik seperti Rausyan yang berkomunikasi lebih baik secara bukan lisan.

“Kalau kita tunjuk gambar Kaabah, beliau akan senyum.

“Saya percaya beliau faham akan kepentingan Kaabah walaupun tak boleh ungkapkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Tambahan lagi, ini bukan kali pertama Encik Rausyan ke luar negara, jadi perjalanan fizikal bukan masalah besar, kata abangnya, Encik Mohamad Iswandy Mohamad Ya’acob, 33 tahun.

“Kami dah biasa bawa beliau ke luar negara. Kami tahu apa yang menenangkannya, bagaimana nak ubah jadualnya secara berperingkat,” tambah beliau.

Di samping itu, teknologi dijangka turut membantu.

Aplikasi FindTag, yang merupakan sebuah aplikasi mudah alih bagi membantu pengguna menjejak lokasi anggota keluarga atau rakan mereka secara masa nyata menggunakan sambungan Bluetooth dan GPS.

Walaupun hanya diperkenalkan dua minggu lalu, keluarga ini berkata alat teknologi seperti itu akan menjadi alat penting dalam memastikan keselamatan Encik Rausyan di tanah suci terutama jika mereka terpisah dalam kesesakan jutaan anggota jemaah.

Keluarga itu akur persiapan haji bukanlah mudah, baik bagi individu biasa mahupun mereka yang mempunyai keperluan khas.

Namun, di bawah ejen penjualan (GSA) pakej haji, TM Fouzy Travel & Tours, Cik Sumpina rasa terjamin keperluan semua anggota keluarganya akan dijaga dengan teliti.

Malah, bahan persiapan terbitan agensi tersebut telah membantu keluarga itu menjelaskan dengan lebih lanjut langkah yang boleh dijangkakan setibanya mereka di Makkah nanti.

Antara bahan persiapan visual yang telah membantu keluarga, Encik Mohamad Rausyan Mohamad Ya’acob, menjelaskan dengan lebih lanjut langkah yang boleh dijangkakan setibanya di Makkah nanti. 
Antara bahan persiapan visual yang telah membantu keluarga, Encik Mohamad Rausyan Mohamad Ya’acob, menjelaskan dengan lebih lanjut langkah yang boleh dijangkakan setibanya di Makkah nanti.  - Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), pihak TM Fouzy berkata agensi tersebut tidak menetapkan pengurusan atau syarat khas bagi anggota jemaah berkeperluan khas.

Pengarah TM Fouzy Travel and Tours Pte Ltd, Ustazah Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah Tengku Mohamad Fouzy Jumat, berkata selagi anggota jemaah berkenaan sihat dan berkebolehan untuk mengikut arahan dengan baik, beliau akan dapat menunaikan haji bersama jemaah lain.

Menerusi kenyataannya dalam talian, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), berkata semua jemaah haji disahkan sihat sebelum menunaikan ibadah haji.

Ini disebabkan mereka dikehendaki mengesahkan tahap kesihatan mereka bersama doktor sebelum membeli pakej haji.

“Kami menyedari sesetengah jemaah haji mungkin mempunyai keperluan khas, dan GSA kita berdedikasi untuk memberikan sokongan rapat sepanjang perjalanan jemaah,” jelas Muis.

Lebih daripada sekadar menunaikan ibadah, perjalanan itu menjadi simbol kekuatan dan kepercayaan antara anggota keluarga.

Sebagai antara penjaga utama Encik Rausyan, Cik Sumpina menegaskan bahawa pengalaman itu menjadi bukti bahawa dengan kasih sayang dan sokongan, tiada siapa harus dipinggirkan walaupun berhadapan dengan cabaran yang tidak kelihatan seperti autisme.

“Kalau dia (Encik Rausyan) dapat berdiri di hadapan Kaabah dan duduk dengan tenang di Masjidil Haram, itu pun sudah memadai bagi kami.

“Apa yang kami harapkan bukanlah kesempurnaan menurut ukuran orang lain, tetapi kesempurnaan dalam caranya sendiri,” kata Cik Sumpina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg