MERSING (Johor): Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mersing di sini pada 9 Januari atas tuduhan membunuh seorang pemandu lori yang mayatnya ditemukan di dalam but kereta pada Disember lalu.
Tertuduh, Hasbullah Adam, 36 tahun, yang juga pemandu lori, sekadar mengangguk tanda memahami tuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut tuduhan, Hasbullah didakwa membunuh Shakirin Mohammad, 28 tahun, antara 6.10 pagi pada 26 Disember dengan 1.50 tengah hari 28 Disember lalu di tepi Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, Johor, lapor Berita Harian Malaysia.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dengan 40 tahun dengan sebatan minimum 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong, manakala tertuduh diwakili peguam bela Azlan Bohari.
Encik Foo dalam hujahnya memaklumkan tiada jaminan dibenarkan kerana tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan.
Mahkamah menetapkan 27 Februari sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan laporan kimia, forensik dan laporan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dalam but kereta miliknya dengan kesan kecederaan di bahagian leher pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, dilaporkan berkata dendam dipercayai menjadi motif utama pembunuhan sebelum mayat mangsa ditemui dalam but kereta itu.
Bertindak atas maklumat risikan, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan membuat tangkapan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an tahun di Johor Bahru pada 4.30 pagi 29 Disember lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg