JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan pasangan kekasih yang aktif mengedar dadah menggunakan sebuah kereta milik ahli keluarga serta merampas lebih 14 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM2.4 juta ($730,000) pada 28 Disember.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri melancarkan operasi khas membabitkan dua serbuan di kawasan Iskandar Puteri dan Johor Bahru pada 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.
Beliau berkata dalam serbuan itu pasangan kekasih berusia 31 dan 33 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di Mutiara Rini, Iskandar Puteri, bersama sejumlah rampasan dadah.
Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Ketamine dan Benzodiazepines.
Katanya, hasil semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Modus operandi sindiket ini menggunakan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil semakan mendapati Toyota Vios hitam yang digunakan adalah milik ahli keluarga mereka.
“Mereka dipercayai aktif beroperasi sejak Oktober lalu,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada 1 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Kumar menambah bahawa hasil soal siasat pasangan berkenaan, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi mereka ditahan.
Menurutnya, menerusi kedua-dua serbuan, polis merampas 14,401 gram (g) serbuk ecstasy bernilai RM2,405,102; 24.58g ketamin (RM4,916); 2.75g syabu (RM302) dan 19.48g pil Ecstacy (RM2,550) dengan kebanyakannya dibungkus semula mengikut kehendak pasaran.
Katanya, jumlah nilai rampasan dadah adalah RM2.4 juta.
“Dadah berkenaan dipercayai bagi pasaran tempatan dan boleh digunakan seramai 72,195 penagih. Malah polis juga menyita barang kemas bernilai RM15,573 selain mata wang Thailand 2,170 baht (RM284).
“Suspek direman tujuh hari bermula 28 Disember sehingga 3 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup selain sebatan.
“Polis juga menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat sumber bekalan dadah, pergerakan pasangan kekasih itu sebelum ini,” katanya.
Datuk Kumar berkata sepanjang 2024, polis Johor membuat tangkapan seramai 25,002 individu atas pelbagai kesalahan dadah selain merampas dadah sebanyak 7.3 tan.
Menurutnya, nilai keseluruhan dadah dirampas adalah bernilai RM99.76 juta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg