Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayat dipenggal kepala, dikerat anggota badan: Bekas guru didakwa bunuh teman universiti

Aug 19, 2024 | 1:37 PM
Bekas guru, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36 tahun (tengah), dituduh membunuh dengan kejam kenalan universitinya, Allahyarhamha Istiqomah Ahmad Rozi, 34 tahun, di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, pada 19 Ogos. 
Bekas guru, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36 tahun (tengah), dituduh membunuh dengan kejam kenalan universitinya, Allahyarhamha Istiqomah Ahmad Rozi, 34 tahun, di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, pada 19 Ogos.  - Foto ASTRO AWANI

ALOR GAJAH: Seorang bekas guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, pada 19 Ogos, atas tuduhan membunuh dengan kejam guru wanita, Allahyarhamha Istiqomah Ahmad Rozi, 34 tahun, yang mayatnya dipenggal kepala dan anggota badan dikerat.

Tertuduh yang juga bekas guru, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36 tahun, hanya mengangguk faham ketika tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan, lapor Astro Awani.

Mengikut tuduhan, tertuduh yang juga kenalan universiti Allahyarhamha Istiqomah didakwa membunuh mangsa di tepi jalan di Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, antara 26 Disember hingga 31 Disember 2023 lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Muhammad Nazrin Ali Rahim, membantah sebarang bentuk jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Beliau turut memohon tarikh sebutan baru sementara menunggu laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.

Dr Teoh pada penghakimannya menetapkan 22 Oktober ini sebagai sebutan semula kes dan pelantikan peguam.

Allahyarhamha yang juga dikenali sebagai Cikgu Istiqomah sebelum ini dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 sebelum kenderaan miliknya ditemui di tempat letak kereta sebuah pasar raya dekat Kota Masai, Johor, berhampiran rumahnya.

Polis kemudian menemui mayat tanpa kepala, kaki dan tangan pada 31 Disember 2023 dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, dekat Alor Gajah, sebelum ujian DNA pada 2 Ogos lalu mengesahkan mayat berkenaan adalah milik Cikgu Istiqomah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu, memaklumkan kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki Allahyarhamha telah dipotong dan beberapa anggota badan yang hilang bagaimanapun tidak ditemukan di kawasan tersebut.

Menyusuli itu polis menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun pada 5 Ogos 2024, namun membebaskan wanita berkenaan selepas tamat tempoh reman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg