ALOR GAJAH (Melaka): Seorang guru wanita yang dilaporkan hilang pada penghujung 2023, di sebuah pasar raya di Johor Bahru, Johor, disahkan maut dipercayai dibunuh oleh lelaki kenalan universitinya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, berkata mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui di dalam tong sampah pada 31 Disember 2023, disahkan milik Allahyarhamha Istiqomah Ahmad Rozi, 32 tahun.
“Polis telah menjalankan siasatan dan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan ke atas ibu Allahyarhamha Istiqomah mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.
“Risikan yang dijalankan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama daripada Jabatan Siasatan Jenayah Johor, berjaya menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak,” katanya lapor Astro Awani.
Pada 6 Januari 2024, Astro Awani melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka, pada 31 Disember 2023.
Lebih tragis apabila bahagian kepala, tangan dan kaki mayat Allahyarhamha tidak berada di lokasi dan dipercayai telah dipotong.
Berita mengenai kehilangan Allahyarhamha Istiqomah tular di media sosial setelah mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 27 Disember 2023.
Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar pasar raya Lotus Kota Masai, Pasir Gudang, Johor, kira-kira 2 petang pada tarikh sama kehilangannya.
Mengulas lanjut, Encik Ashari berkata siasatan yang dijalankan ke atas dua individu berkenaan kemudian membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.
Mangsa mempunyai tiga anak hasil perkahwinan bersama suami, Encik Mohd Yusof Mokhtar, 35 tahun, dan lelaki yang ditangkap dipercayai mempunyai urusan berkaitan pelaburan Forex dengan mangsa, manakala isteri suspek tidak mengenali Allahyarhamha Istiqomah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg