Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek bunuh 3 ahli keluarga di Johor ditahan ketika merayau di KL

Aug 14, 2024 | 1:13 PM
Lelaki (berbaju jingga) yang dipercayai membunuh sebelum membakar kediaman keluarganya di Pagoh, Muar, Johor, sehingga menyebabkan kematian ibu bapa dan anak saudaranya pada 9 Ogos lalu, ditahan reman tujuh hari.
Lelaki (berbaju jingga) yang dipercayai membunuh sebelum membakar kediaman keluarganya di Pagoh, Muar, Johor, sehingga menyebabkan kematian ibu bapa dan anak saudaranya pada 9 Ogos lalu, ditahan reman tujuh hari. - Foto ASTRO AWANI

MUAR: Suspek utama yang dipercayai membunuh sebelum membakar kediaman keluarganya sehingga menyebabkan kematian ibu bapa serta anak saudaranya di Kampung Paya Redan di Pagoh, Muar, Johor, pada 9 Ogos lalu, berjaya ditahan polis ketika merayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 48 tahun itu yang masih bujang berjaya dicekup polis kira-kira 1 pagi 14 Ogos, selepas lima hari melarikan diri dan kini direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Muar hingga 20 Ogos ini.

Perintah tahanan reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira 9.15 pagi dengan dikawal ketat oleh pegawai dan anggota polis, lapor Astro Awani.

Penahanan suspek dibuat okeh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas menerima maklumat awam.

Dalam kejadian tragis yang meragut nyawa tiga sekeluarga pada 9 Ogos lalu, suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditungganginya di Hentian Bas Bentayan, di Muar, sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur.

Terdahulu, dalam kejadian malang pada awal pagi 9 Ogos itu, pasangan warga emas, Allahyarham Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 tahun, dan Allahyarhamha Ara Abdul Hamid, 76 tahun, serta cucu mereka Allahyarhamha Noradriana Nor Hisyam, 11 tahun, maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.

Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan pasangan itu yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Suspek dipercayai membunuh ketiga-tiga mangsa sebelum bertindak membakar kediaman keluarganya.

Ia berdasarkan keadaan mayat Allahyarhamha Noradriana yang mukanya hancur serta terdapat kesan kecederaan akibat dihentak objek tumpul.

Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian, manakala cucunya meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.

Jenazah Allahyarhamha Noradriana selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, manakala jenazah datuk dan neneknya masih belum dapat dituntut sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaannya yang rentung lebih 80 peratus.

Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada Seksyen 302 KK kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg