Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MB Kedah mohon ampun pada Sultan Selangor

Sep 26, 2024 | 10:47 AM
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri). - Foto UTUSAN MALAYSIA

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, secara terbuka membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan maaf itu berkaitan kenyataan beliau yang didakwa menghina Sultan Selangor pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara di Gombak, Selangor.

“Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tuanku Sultan Selangor, di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 seperti yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku,” katanya ketika membacakan permohonan maaf itu pada satu sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, pada 25 September, lapor Utusan Malaysia.

Ini adalah permohonan maaf pertama Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu yang dibuat secara terbuka selepas kejadian tersebut. Beliau turut kesal di atas perkara negatif yang timbul akibat kenyataannya itu.

“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersenda Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila hadir di negeri orang, khususnya berkaitan kes patik apabila berada di Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti yang telah patik perkatakan walaupun ucapan itu dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya,” katanya.

Datuk Sanusi juga berkata beliau dengan penuh rasa insaf dan rendah hati memohon beribu keampunan pada Sultan Selangor, Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor di atas segala keterlanjuran kata-katanya. 

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja” tambahnya.

Pada 29 Februari, Datuk Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa Parti Islam SeMalaysia (PAS) Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak, Selangor, pada 11 malam, 11 Julai 2023. Beliau didakwa di bawah Akta Hasutan. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg