Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MB Perlis letak jawatan, PAS hantar 2 nama calon pengganti

Dec 26, 2025 | 2:09 PM
Mantan Pesuruhjaya Parti Islam SeMalaysia (PAS) Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli, meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis pada 25 Disember, selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk tiga daripada PAS hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.
Mantan Pesuruhjaya Parti Islam SeMalaysia (PAS) Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli, meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis pada 25 Disember, selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk tiga daripada PAS hilang keyakinan terhadap kepimpinannya. - Foto FACEBOO MOHD SHUKRI

Krisis politik di Perlis memuncak apabila Menteri Besar, Encik Mohd Shukri Ramli, daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) meletakkan jawatan pada 25 Disember, mencetuskan ketidaktentuan baru dalam politik di Malaysia.

Perkembangan itu berlaku selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis daripada PAS dilucutkan keahlian pada 24 Disember kerana didakwa melanggar lafaz bai’ah (ikrar taat setia) dengan tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri.

Tiga Adun yang digugurkan keahlian itu ialah Adun Chuping, Encik Saad Seman; Encik Fakhrul Anwar Ismail (Adun Bintong) dan Encik Mohd Ridzuan Hashim (Adun Guar Sanji), sekali gus menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan.

Walaupun memberi alasan masalah kesihatan untuk meletak jawatan, Encik Mohd Shukri, tidak menolak pengkhianatan tiga Adun berkenaan sebagai gerakan terancang.

“(Tindakan) Ahli Yang Berhormat (YB) macam ini disebut sebagai pengkhianatanlah sebab dalam PAS kita ada sumpah bai’ah.

“Kalau kita tengok daripada segi maklumat tak bocor, jadi (ia tindakan) terancanglah…sebab maklumat (mengenainya) langsung tak diketahui. 

“Saya hanya dapat maklumat pada hari kejadian,” kata Encik Mohd Shukri yang mendapatkan rawatan sakit dada di sebuah hospital di Kuala Lumpur sejurus pulang daripada lawatan kerja luar negara pada 22 Disember, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember. 

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pada 26 Disember, dilaporkan berkata PAS mengemukakan nama dua calon jawatan Menteri Besar untuk menggantikan Encik Mohd Shukri, yang meletak jawatan itu secara sukarela atas faktor kesihatan semalam.

Berita Harian Malaysia melaporkan, Tan Sri Abdul Hadi berkata dua nama calon Menteri Besar itu diserahkan untuk dipertimbangkan Tuanku Syed Sirajuddin, kerana PAS masih menguasai kerusi DUN Perlis, walaupun tiga wakil rakyatnya digugurkan daripada keahlian.

Terdahulu Tan Sri Abdul Hadi dalam satu kenyataan memaklumkan, Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 24 Disember, telah membuat ketetapan bahawa keahlian tiga Adun terbabit terhenti serta merta.

Tindakan itu dibuat selepas tiga Adun PAS berkenaan bersama lima Adun daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, pada 19 Disember, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepimpinan Encik Mohd Shukri.

Bagaimanapun, setakat ini Bersatu - yang juga rakan komponen PAS dalam gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai tindakan atau kedudukan Adun parti itu.

Ia menyebabkan PAS secara terbuka mengeluarkan desakan untuk Bersatu mengenakan tindakan sama terhadap Adun parti itu yang menandatangani SD untuk menjatuhkan kerajaan PN Perlis.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam satu kenyataan, berkata tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN, serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

“Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, PAS yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat. 

“PAS sudah mengambil tindakan tegas terhadap tiga Adun terbabit kerana parti ini tidak berkompromi dalam soal disiplin jemaah. Kini saya merasakan Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada lima Adun terbabit,” katanya pada 25 Disember.

Sementara itu, Speaker DUN Perlis, Encik Rus’sele Eizan, dilaporkan berkata pemakluman secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN Perlis akan dibuat minggu depan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg