Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya pada 16 Disember, suatu perubahan kedua dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya sejak akhir 2022.
Rombakan itu menyaksikan dua nama menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan, enam timbalan menteri dinaikkan pangkat ke jawatan menteri, serta sembilan pelantikan baru merangkumi 18 perubahan portfolio.
Datuk Anwar menjelaskan perubahan bertujuan memperkukuh kecekapan pentadbiran dan memastikan dasar kerajaan lebih dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dua nama yang digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami turut digugurkan.
Senator Dr Zulkifli Hassan, bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, mengisi kekosongan Datuk Dr Mohd Na’im, manakala pendakwah Cik Marhamah Rosli mengambil tempat Dr Zulkifli.
Kekosongan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang ditinggalkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas tamat tempoh lantikan senatornya, diisi oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Selain Dr Zulkifli, lima lagi timbalan menteri yang dinaikkan pangkat menteri ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang mengambil portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.
Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bekas Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kini menerajui Kementerian Ekonomi yang kosong selepas Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan menteri pada Jun lalu.
Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, meninggalkan jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum ini.
Datuk Seri R Ramanan yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kini Menteri Sumber Manusia – menggantikan Encik Steven Sim yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Kuskop yang kosong dengan peletakan jawatan Datuk Ewon Benedick, pada November lalu.
Seorang lagi ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustafa Sakmud yang mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di JPM (Sabah dan Sarawak).
Antara pertukaran portfolio ialah Menteri Belia dan Sukan, Cik Hannah Yeoh, dilantik sebagai Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), menggantikan Datuk Dr Zaliha.
Yang turut menarik perhatian ialah pelantikan Ahli Parlimen (AP) Sungai Petani, Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari, anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, ke jawatan Menteri Belia dan Sukan, mengisi tempat Cik Hannah.
Mantan Timbalan Menteri Kewangan pada pentadbiran terdahulu, Datuk Mohd Shahar Abdullah, diberi kepercayaan memegang jawatan Timbalan Menteri Ekonomi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg