Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tahanan rumah Najib boleh jadi liabiliti Kerajaan Perpaduan

Pengamat: Prinsip perundangan, pemisahan kuasa di M’sia dapat tumpuan susuli keputusan mahkamah; isu perlu ditangani secara berhemah
Dec 23, 2025 | 4:34 PM
Kes Najib, politik M’sia, tahanan rumah, Kerajaan Perpaduan
Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak akan menghabiskan baki hukuman penjara yang dijalaninya sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta ($133 juta) milik SRC International Sdn Bhd, di Penjara Kajang, Selangor. Ini menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman untuk beliau mendapatkan kebenaran tahanan rumah. - Foto NSTP

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan mantan Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, bukan saja menegaskan prinsip perundangan dan pemisahan kuasa di Malaysia, malah mencetuskan ketegangan politik dalam Kerajaan Perpaduan. 

Daripada sudut politik, pengamat berpandangan isu tahanan rumah Encik Najib berpotensi menjadi liabiliti politik kepada Kerajaan Madani, sekiranya tidak diuruskan secara berhemah oleh kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Profesor Dr Zaid Ahmad, berkata reaksi keras segelintir pemimpin Umno menyusuli keputusan mahkamah pada 22 Disember itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pendirian rasmi parti.

Namun jika dibiarkan ia boleh mencetuskan ketegangan dalaman yang memberi ruang kepada lawan politik untuk memanipulasi keadaan, katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Profesor Dr Zaid Ahmad.
Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Profesor Dr Zaid Ahmad. - Foto UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

Katanya, pertukaran kenyataan secara terbuka yang tidak terkawal hanya akan memburukkan persepsi terhadap kestabilan kerajaan.

“Risiko sebegini adalah realiti dalam kerajaan gabungan yang dibentuk berdasarkan konsensus pascapilihan raya, bukannya mandat awal pengundi. 

“Dalam susunan ini, setiap parti membawa kepentingan dan hala tuju masing-masing, menjadikan isu sensitif seperti kes Encik Najib satu cabaran politik yang perlu ditangani secara bersama dan berhati-hati oleh ketua-ketua parti,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai percanggahan dalam reaksi politik semasa apabila terdapat pihak yang mempersoalkan keputusan mahkamah, sedangkan masyarakat dan pemimpin politik sebelum ini lantang menuntut pemisahan kuasa serta kebebasan institusi kehakiman. 

Menurut Profesor Dr Zaid, prinsip kedaulatan undang-undang tidak boleh dipilih secara selektif mengikut kepentingan politik semasa.

“Ketidakpuasan hati terhadap keputusan mahkamah seharusnya disalurkan melalui proses perundangan, termasuk rayuan dan bukannya melalui tekanan politik terhadap kerajaan. 

“Jika isu ini gagal diurus dengan bijaksana, ia bukan saja akan menjadi beban politik kepada Kerajaan Madani, malah berisiko menjejas keyakinan awam terhadap prinsip pemisahan kuasa yang selama ini diperjuangkan,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Alice Loke Yee Ching pada 22 Disember menolak permohonan semakan kehakiman Encik Najib untuk mendesak kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan titah adendum yang membolehkannya menjalani hukuman tahanan rumah.

Hakim Loke memutuskan titah adendum atau perintah tambahan diraja yang membenarkan perkara itu adalah tidak sah kerana ia dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2024 dan tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, yang berkaitan dengan kuasa pengampunan diraja.

Dengan itu, Encik Najib perlu menghabiskan baki hukuman penjara yang dijalaninya sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta ($13.3 juta) milik SRC International Sdn Bhd, di Penjara Kajang, Selangor.

Keputusan itu mencetuskan pertelingkahan antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan dan memuncak apabila parti komponen Pakatan Harapan (PH) – Parti Tindakan Demokratik (DAP) – mengeluarkan kenyataan ‘meraikan’ kegagalan Encik Najib memperoleh hukuman tahanan rumah.

Kenyataan yang disifatkan tidak sensitif dan memijak maruah Umno itu membawa kepada ugutan dan ancaman daripada pemimpin Umno untuk parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Malah, ada pihak turut mendakwa keputusan itu telah mencemar kedaulatan institusi beraja dan kuasa Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Pakar perundangan dan perlembagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah.
Pakar perundangan dan perlembagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah. - Foto DR IKMAL HISHAM MD TAH

Pakar perundangan, Dr Ikmal Hisham Md Tah, berkata keputusan mahkamah dalam kes tahanan rumah Encik Najib menandakan satu penegasan penting terhadap prinsip perlembagaan dan prosedur undang-undang, terutamanya mengenai konsep Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Beliau, yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata setakat ini Malaysia tidak pernah mempunyai duluan (precedent) kes di mana seorang banduan dibenarkan menjalani hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Katanya ini menjadikan kes Encik Najib sebagai satu isu baru dalam kerangka perundangan negara.

Justeru, keputusan mahkamah tersebut disifatkan dibuat selaras dengan lunas undang-undang dan semangat menghormati konsep Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas perbandingan yang sering dibuat dengan pengampunan penuh yang pernah diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersabit kes liwat pada 2018, beliau menjelaskan bahawa kedua-dua kes berada dalam konteks berbeza, walaupun melibatkan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42.

“Perkara 42 secara umumnya menjelaskan secara terperinci berkaitan proses pengampunan diraja menerusi Lembaga Pengampunan serta tatacara yang sewajarnya dilakukan menerusi ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam kes Datuk Anwar, pengampunan penuh diberikan selepas diputuskan melalui Lembaga Pengampunan, manakala dalam kes Encik Najib, pengurangan hukuman telah dipersetujui oleh lembaga tersebut, namun titah adendum yang membenarkan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat lembaga berkenaan,” katanya kepada BH.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa keputusan mahkamah itu menjejaskan kuasa institusi raja, sambil menegaskan bahawa prerogatif pengampunan raja-raja Melayu kekal dilindungi oleh Perlembagaan, namun mesti dilaksanakan mengikut kerangka undang-undang yang ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 42.

“Daripada sudut langkah seterusnya, Encik Najib masih mempunyai ruang untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan, selain mengemukakan permohonan baru kepada Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat dan pemimpin politik menghormati keputusan mahkamah, sambil memahami bahawa proses rayuan masih terbuka dan sistem perundangan negara terus berfungsi mengikut prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg