MELAKA: Sebuah syarikat menyewa tiga banglo di perumahan mewah bagi pusat aktiviti pembungkusan semula baja tanaman sebelum dijual di media sosial dan meraih keuntungan mencecah RM400,000 ($120,303) sebulan.
Itulah kegiatan licik syarikat itu yang dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menerusi serbuan Op Samar 5.0, di perumahan terletak di Ayer Keroh pada 15 Julai.
Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin, berkata serbuan hasil maklumat awam dan risikan sejak seminggu lalu itu mendapati terdapat aktiviti membungkus baja di banglo itu dengan dua daripadanya dijadikan pejabat urusan dan tempat siaran langsung jualan di media sosial.
Beliau berkata siasatan awal pihaknya mengesan dua kesalahan iaitu mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, lapor Berita Harian Malaysia.
“Syarikat ini beroperasi sejak 2024 tanpa kebenaran atau kelulusan Pengawal Bekalan KPDN untuk berurusan (berniaga) dengan barang kawalan iaitu baja serta lesen daripada pihak berkuasa tempatan, lesen runcit dan borong.
“Seterusnya mengikut ATS 1972 kerana menggunakan alat sukat tidak ditentusahkan yang mana tempahan dibuat melalui TikTok dan syarikat membungkus semula baja yang dibeli dari tempat lain dalam peket lebih kecil yang diragui sukatannya.
“Hasil pemeriksaan kita menemui 4,165 kilogram (kg) baja bernilai RM6,789 yang akan dibungkus untuk diedar ke seluruh negara, dan dengan kos sebanyak itu, syarikat yang mempunyai 15 pekerja membuat untung RM400,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan syarikat itu memilih perumahan elit untuk beroperasi dan bukan kawasan kilang sebagai taktik baru bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Ini kali pertama kita jumpa kes di negeri ini dan mungkin di Malaysia... saya sendiri dan pihak pasukan pun susah nak masuk sebab dikawal ketat oleh pengawal keselamatan kerana rumah-rumah di sini diduduki orang kenamaan.
“Mungkin ini satu taktik baru dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa dan memang tidak ada siapa menjangkakan rumah banglo ini dijadikan pusat pembungkusan semula barang kawalan (baja) tanpa kebenaran KPDN,” katanya sambil mendedahkan banglo berkenaan disewa kira-kira RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.
Beliau berkata syarikat itu didapati mempunyai lesen perniagaan tapi didaftarkan di tempat lain dan siasatan lanjut sedang dilakukan daripada segenap aspek.
Dalam operasi berkenaan KPDN Melaka menyita baja dan peralatan timbang digunakan untuk siasatan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg