Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

KPDN, Jakim kerjasama keluarkan produk Indo ada DNA babi di pasaran M’sia

Apr 24, 2025 | 3:39 PM
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. - Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengeluarkan produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi yang didakwa berada di pasaran Malaysia.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Jakim untuk memastikan produk terbabit dikeluarkan segera daripada pasaran Malaysia.

“Kita bekerjasama dengan Jakim dan agensi agama peringkat negeri, bersandarkan pengumuman dibuat badan halal Indonesia, kita akan ambil tindakan segera,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Jakim pada 23 April mengeluarkan kenyataan mengarahkan pengimport menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi daripada pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata arahan itu susulan pengumuman rasmi oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada 22 April, berhubung penarikan balik produk terbabit.

Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 batch (kumpulan) daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.

Daripada jumlah itu, sembilan daripada tujuh kumpulan produk memiliki sijil halal, manakala dua kumpulan produk tidak memiliki sijil halal.

Datuk Dr Sirajuddin berkata pihaknya memandang serius pengumuman rasmi itu, selain menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

“Sebagai langkah pencegahan awal, Jakim segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam negeri bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran Malaysia.

“Jakim turut mengarahkan pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi Jakim melalui emel ukkjakim@islam.gov.my dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit daripada pasaran Malaysia.

“Langkah ini sejajar prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara dan diyakini,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk tersebut di pasaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg