KOBE (Jepun): Kerajaan Negeri Melaka memperkukuh aspirasi untuk muncul sebagai Hab Kesihatan Utama Asia Tenggara melalui kerjasama strategik dengan dua gergasi industri perubatan Jepun, Sysmex Corporation dan Nipro Corporation.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang mengetuai delegasi rasmi negeri sempena misi pelaburan sektor kesihatan ke Jepun bersempena World Expo Osaka 2025, berkata lawatan kerja itu membuka ruang kerjasama dalam bidang inovasi perubatan, teknologi diagnostik dan pelancongan kesihatan.
Menurut beliau, Sysmex Corporation, peneraju global dalam teknologi diagnostik in-vitro, peranti perubatan dan sistem robotik, menyatakan minat untuk memperluaskan kepakaran mereka di Melaka.
Antara fokus utamanya termasuk meningkatkan penggunaan mesin pembedahan robotik Hinotori di Pusat Perubatan Mahkota.
“Kerajaan Negeri Melaka amat komited untuk memperkasa transformasi Melaka sebagai Hab Kesihatan Utama di Asia Tenggara.
“Dengan kepakaran lebih 50 tahun dimiliki Sysmex, kami yakin kerjasama ini mampu memperkukuh inovasi perubatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 September.
Delegasi turut mengadakan lawatan ke Nipro Corporation di Shiga, Jepun, pada 3 September. Nipro, yang terkenal dalam pengeluaran peranti perubatan, farmaseutikal dan perubatan regeneratif, membuka potensi pelaburan dianggarkan bernilai RM50 juta ($15 juta) di Melaka.
Kini, Melaka memiliki tujuh hospital utama, termasuk empat hospital pakar swasta dan tiga hospital kerajaan, yang bukan sahaja memenuhi keperluan 1.05 juta penduduk, bahkan menjadi destinasi pilihan pesakit antarabangsa.
Sejak 1980, pelaburan Jepun ke Melaka mencecah RM5.9 bilion, menandakan keyakinan berterusan pelabur terhadap negeri itu.
Ketua Menteri itu menegaskan kedudukan strategik Melaka di Asia Tenggara, dasar mesra pelabur, tenaga kerja mahir serta prasarana logistik yang mantap menjadikan negeri ini destinasi pelaburan berdaya saing.
Beliau turut menjemput kepimpinan Sysmex dan Nipro menghadiri World Tourism Day dan World Tourism Conference 2025 yang bakal berlangsung di Melaka pada 27 hingga 29 September.
“Dengan membina jaringan kerjasama global seperti ini, aspirasi menjadikan Melaka sebagai destinasi unggul kesihatan dan inovasi serantau akan menjadi kenyataan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg