Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Memperkasa M’sia Madani 2024

Dec 31, 2023 | 5:30 AM
BERBILANG KAUM: Menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia antara harapan Malaysia Madani yang lebih progresif pada 2024.
BERBILANG KAUM: Menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia antara harapan Malaysia Madani yang lebih progresif pada 2024. - Foto FACEBOOK REEZAL MERICAN NAINA MERICAN

Melayari 2023 dengan pelbagai memori, lakaran kejayaan, cabaran dan kisah suka duka, pelbagai pihak meletakkan harapan untuk Malaysia 2024 yang lebih makmur dan sejahtera.

Mungkin bukan jalan mudah untuk melihat Malaysia terus kukuh terutama dalam kemajuan ekonominya, di sebalik pelbagai rencam dan cabaran sejagat.

Namun, sandaran positif dan keyakinan tinggi diletakkan kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan, bahawa semua yang direncana akan dapat dijayakan sepenuhnya, mengambil kira kerjasama padu daripada seluruh warga tanah air ini, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

Kemantapan politik, perpaduan kaum, kemajuan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat antara isu yang menjadi tumpuan.

Berita Harian (BH) mendapatkan pandangan dan harapan pakar pelbagai bidang terhadap hala tuju dan masa depan Malaysia dalam melangkah ke 2024.

Bagi Profesor Antropologi Sosial Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Sarjit Singh Gill, beliau ingin melihat isu perpaduan masyarakat, pembangunan modal insan dan pelaksanaan dasar awam yang lebih kolektif diberi tumpuan oleh kerajaan pada 2024, dalam usaha membangunkan Malaysia Madani dan Bangsa Malaysia yang lebih progresif.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional, Akademi Profesor Malaysia, berharap pemimpin negara mengutamakan agenda membina semula naratif Bangsa Malaysia, agar perpaduan dan semangat bersatu padu terus subur dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kerajaan Madani perlu komited dalam soal mengangkat martabat Bangsa Malaysia yang progresif dengan semua pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan untuk menyemai benih perpaduan dan menekankan budaya damai.

“2024 akan melakarkan hubungan etnik yang lebih baik ke arah membina semula Bangsa Malaysia yang bersatu padu. Perlu ditegaskan, kepelbagaian budaya masyarakat adalah kekuatan yang perlu diraikan bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, Profesor Dr Sarjit berkata pemerintah juga perlu memberi lebih tumpuan dalam pelaksanaan dasar awam secara kolektif.

Secara umum, beliau berkata dasar awam Malaysia dirancang dengan baik dan teliti, namun aspek pelaksanaan dan pemantauannya perlu ditambah baik.

“Saya jarang sekali melihat dan mendengar penilaian sesuatu dasar awam dilaksanakan, sedangkan ia penting untuk meninjau pencapaian matlamat sesuatu dasar.

“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) setiap tahun adalah bukti empirikal kelemahan pelaksanaan dasar awam.

“Saranan saya agar Pejabat Perdana Menteri memantau dasar awam setiap Kementerian secara berkala demi membangun Malaysia Madani yang berintegriti menuju sebuah negara maju yang progresif dan berdaya saing di peringkat serantau dan global.

“Kerajaan Madani juga perlu melipatgandakan usaha menyemai benih perpaduan dalam masyarakat khususnya dalam kalangan ahli politik.

“Kementerian Perpaduan Negara perlu lebih proaktif dalam menganjurkan program muhibah dan budaya damai serta memupuk sifat hormat dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.

“Anasir ekstremisme kaum dan agama perlu dibendung kerana ia boleh menggugat kestabilan dan ketenteraman awam.

“Dasar Perpaduan Negara (DPN) bertemakan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ yang dilancarkan pada 15 Februari 2021 penting untuk membina semula naratif Bangsa Malaysia.

“Dasar tersebut bersifat inklusif kerana meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan Malaysia,” katanya.

Beliau turut berpandangan tumpuan juga perlu dalam membina modal insan khususnya dalam kalangan belia sebagai aset penting negara dan program seumpama Dialog Mahasiswa Temu Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) harus dipuji serta diperluas kepada setiap pemimpin, untuk menerima pandangan serta teguran membina secara terus.

Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, pula mengharapkan kemantapan politik yang dicapai Kerajaan Perpaduan hari ini tidak diganggu gugat, supaya usaha membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat tidak terencat.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), menegaskan kerajaan hari ini perlu diberi peluang untuk berkhidmat sehingga tamat penggal bagi membolehkan segala perancangan mampu dijayakan.

“Semua pihak perlu berjiwa besar untuk sama-sama ambil tanggungjawab menentukan hala tuju kejayaan negara sebab kita berada dalam keadaan banyak cabaran sama ada dari luar dan dalam. Jika ahli politik terus bercakaran, akhirnya rakyat yang merana.

“Jangan macam main istana pasir, seorang bangunkan, yang lain hendak jatuhkan. Itu membuang masa dan bazirkan sumber dalam negara. Terima hakikat mereka adalah kerajaan yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata walaupun usaha menggulingkan kerajaan hari ini dilihat tidak berjaya berdasarkan kedudukan kerajaan kukuh dengan sokongan lebih dua pertiga, landskap politik Malaysia yang bergantung kepada blok politik tertentu berisiko mewujudkan kesan domino sekiranya diusik pihak tertentu.

“Kerajaan perlu ikhlas bangunkan negara. Saya yakin pertumbuhan ekonomi rancak pada 2024 ini kerana asas pengukuhan itu sudah ada. Dengan rombakan Kabinet baru-baru ini yang meletakkan ahli politik senior, saya yakin corak pentadbiran kerajaan perlahan-lahan berubah dan lebih baik,” katanya.

Beliau turut mengharapkan 2024 memperlihatkan Malaysia semakin pulih daripada kemelesetan ekonomi dan masalah kos sara hidup yang membelenggu rakyat, pelaburan domestik yang lebih rancak dan aspek kesihatan yang lebih baik terutama ketika Covid-19 kembali mengganas ketika ini.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula menjangkakan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan 20 hari sebelum menjengah 2024 akan mempercepatkan agenda kerajaan dalam reformasi ekonomi dan pemerkasaan rakyat.

Beliau berkata selaras itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada misi pembangunan ekonomi digital, terutama dalam mengangkat Malaysia sebagai hab pangkalan data terkemuka bukan saja di Asia Pasifik, bahkan di pentas dunia.

“Saya melihat ada sebabnya Perdana Menteri menubuhkan satu kementerian baru iaitu Kementerian Digital, supaya apa saja yang bersangkut paut dengan proses pendigitalan itu dapat dilakukan dengan cepat.

“Umpamanya dalam proses Malaysia untuk meluaskan pelaksanaan 5G, kerana ia berkait rapat dengan ekonomi digital. Jadi bagi saya ekonomi digital itu akan menjadi tumpuan utama kerajaan pada 2024, bagi memeriahkan lagi ekonomi negara untuk manfaat rakyat,” katanya.

Beliau juga yakin ketokohan dan kepimpinan Datuk Anwar sebagai pemimpin disegani dunia, akan menganjak kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa, terutama dengan pendirian tegas dan kelantangan Perdana Menteri melontarkan suara dalam pelbagai isu global.

“Semua pihak perlu berjiwa besar untuk sama-sama ambil tanggungjawab menentukan hala tuju kejayaan negara sebab kita berada dalam keadaan banyak cabaran sama ada dari luar dan dalam. Jika ahli politik terus bercakaran, akhirnya rakyat yang merana. Jangan macam main istana pasir, seorang bangunkan, yang lain hendak jatuhkan. Itu membuang masa dan bazirkan sumber dalam negara. Terima hakikat mereka adalah kerajaan yang memerintah.”
Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, Presiden Majlis Profesor Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg