PUTRAJAYA: Badan penguatkuasaan di Malaysia diberi jaminan untuk bebas mengambil tindakan terhadap perasuah, biarpun mereka membabitkan orang kenamaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Anwar berkata beliau akan mempertaruhkan apa saja untuk mempertahankan tindakan diambil penguat kuasa terhadap perasuah demi kepentingan negara.
Katanya apabila menyebut mengenai penguatkuasaan terhadap gejala rasuah, beliau sedar kegusaran penguat kuasa sama ada tindakan mereka terhadap individu terbabit terutama orang kenamaan akan dipertahankan kepemimpinan dalam pasukan.
“Tetapi bila saya jelaskan, ada bukti, jangan ada penganiayaan, (tindakan perlu diambil) jalan tegas, keras, segera.
“Saya akan pertaruhkan segala-galanya untuk pertahankan mereka dalam menjalankan tugas menyelamatkan negara ini.
“Ia bermakna, saya sendiri mesti mengepalai dan beritahu my full undivided support (saya beri sokongan sepenuhnya) terhadap tindakan mereka dan kita hargai tindakan ini,” katanya pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Oktober 2025 di Putrajaya, pada 13 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Anwar berkata usaha membanteras gejala rasuah tidak seharusnya hanya terletak di bahu badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.
Justeru, Datuk Anwar berkata beban tanggungjawab itu juga perlu diletak kepada ketua jabatan.
“Masih ada masalah, hari-hari jika ada berita, orang kena tangkap sebab rasuah. Tekan begitu kuat, tindakan tegas, jangan harap kepada SPRM atau badan penguasaan saja.
“Kalau ketua jabatan tahu dan menjadi pelindung, kita tak boleh pertahankan ketua jabatan itu. Sebab itu, tanggungjawab harus ada,” katanya.
Pada masa sama, Datuk Anwar mengingatkan penjawat awam untuk bukan sekadar bekerja sebaik mungkin, sebaliknya mencari jalan lain untuk menjadi cemerlang.
“Ada yang berpengalaman 10, 20, 30 tahun. Jadi, baki tahun (sebelum persaraan), berilah yang sebaik mungkin kerana apa yang sudah dilakukan itu akan menentukan nasib negara dan masa depan kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg