Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menlu M’sia: Beberapa negara termasuk China minta perjanjian bebas nuklear disambung semula

Jul 9, 2025 | 12:27 PM
Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Asean, SEANWFZ
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata modus operandi Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) juga akan diperkemas dan diperkasa bagi membolehkan negara anggota memahami dan menjalin hubungan dengan blok lain. - Foto FACEBOOK MOHAMAD HASAN

KUALA LUMPUR: Beberapa negara termasuk China menghubungi Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025, meminta supaya perbincangan membabitkan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) disambung semula.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata China sebagai contoh sudah menyatakan hasrat untuk menandatangani perjanjian tanpa sebarang syarat.

“Ada dua tiga negara yang menghubungi Malaysia selaku Pengerusi Asean.

“Mereka mahu berbincang dan meneruskan perbincangan yang tertangguh dulu berkenaan dengan perjanjian… jadi ini satu perkembangan baik.

“Pada masa sama, kami turut menerima pakai keputusan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota SEANWFZ yang akan kami rasmikan pada Sidang Puncak ke-47, Oktober ini (2025),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ, di Kuala Lumpur, pada 8 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Mohamad berkata modus operandi SEANWFZ juga akan diperkemas dan diperkasa bagi membolehkan negara anggota memahami dan menjalin hubungan dengan blok lain.

“Itu kami nak lakukan supaya kami dapat kesinambungan dan berbincang bagaimana cara untuk memastikan supaya dunia ini bebas daripada ancaman senjata,” katanya.

Terdahulu, Datuk Mohamad turut menyuarakan kebimbangannya terhadap kegagalan negara-negara pemilik senjata nuklear (NWS) untuk mengiktiraf Asia Tenggara secara rasmi sebagai zon bebas senjata berkenaan.

Asia Tenggara kekal satu-satunya zon bebas senjata nuklear yang belum diiktiraf secara rasmi oleh NWS melalui penandatanganan dan pengesahan Protokol Perjanjian, tegasnya.

“Sehubungan itu, kami mengalu-alukan kesediaan NWS untuk berinteraksi dengan Asean ke arah menandatangani dan mengesahkan Protokol Perjanjian berkenaan.

“Kami mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa perjanjian terbabit bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi satu komitmen yang hidup dan dinamik, serta menyumbang kepada usaha perlucutan senjata di peringkat serantau dan sejagat,” katanya.

Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota Asean dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol itu, setiap NWS perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ dan tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak, serta tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.

“Ada dua tiga negara yang menghubungi Malaysia selaku Pengerusi Asean. Mereka mahu berbincang dan meneruskan perbincangan yang tertangguh dulu berkenaan dengan perjanjian… Pada masa sama, kami turut menerima pakai keputusan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota SEANWFZ yang akan kami rasmikan pada Sidang Puncak ke-47, Oktober ini (2025).”
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg