Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri Besar Johor: 100 tahun Tambak perkukuh semangat kejiranan M’sia, S’pura

Jun 28, 2024 | 5:02 PM
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan cenderahati daripada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kanan) kepada Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan (tiga dari kiri) pada Sambutan 100 Tahun Tambak Johor di tengah tambak sempadan Johor dan Singapura pada 28 Jun.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail (tengah) berkenan menyaksikan penyerahan cenderahati daripada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kanan) kepada Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan (tiga dari kiri) pada Sambutan 100 Tahun Tambak Johor di tengah tambak sempadan Johor dan Singapura pada 28 Jun. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Sambutan 100 tahun Tambak Johor (Koswe) akan memperkukuh dan mengeratkan lagi semangat kejiranan di antara Johor, Malaysia dan Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata sambutan itu amat bermakna buat Malaysia dan Singapura kerana disambut selepas 100 tahun kewujudan Tambak Johor.

“Alhamdulillah hari ini kita lihat sendiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor. Ia sangat signifikan untuk warga Johor, Malaysia dan Singapura.

“Kerajaan Johor menjunjung kasih ke atas keberangkatan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang sudi mencemar duli menghadiri sambutan 100 Tahun Tambak Johor.

“Kita harap sambutan ini akan mengukuh dan eratkan lagi semangat kejiranan antara Johor, Malaysia dan Singapura,” katanya pada sidang media di sini pada 28 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam pada itu, Datuk Onn Hafiz berkata beliau dan delegasi kerajaan Johor akan menyertai sambutan rasmi 100 Tahun Tembak Johor di Singapura pada tengah hari 28 Jun.

“Saya dan rombongan kerajaan Johor akan ke Masjid Teluk Belanga, Singapura, untuk solat Jumaat.

“Selepas itu, ada satu program bersama pemerintah Singapura di Woodlands Civic Centre untuk acara sambutan 100 Tahun Tambak Johor, di sana pula,” katanya.

Terdahulu, beliau dan semua barisan Exco Johor melawat pameran 100 Tahun Tambak Johor di Muzium Tokoh, di Johor Bahru.

Sebelum itu, Datuk Onn Hafiz dan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menyambut Tunku Mahkota Ismail di titik sempadan Malaysia-Singapura bagi sambutan rasmi 100 Tahun Tambak Johor.

Sebanyak 100 burung merpati dilepaskan pada acara sambutan itu yang diadakan di titik tengah sempadan Malaysia-Singapura di atas tambak berkenaan pada 28 Jun.

Ia sebagai simbolik semangat setiakawan dan persaudaraan rapat antara Malaysia dengan Singapura.

Pelepasan 100 burung merpati itu disempurnakan Pemangku Sultan Johor bersama Datuk Onn Hafiz dan Dr Balakrishnan.

Tunku Mahkota Ismail kemudian menyaksikan Datuk Onn Hafiz dan Dr Balakrishnan bertukar plak cenderahati kenangan membabitkan ukiran 100 Tahun Tambak Johor.

Pada 28 Jun 2024, Tambak Johor genap berusia 100 tahun, sekali gus secara simboliknya menandakan hubungan utuh satu abad antara dua negara berjiran yang hanya dipisahkan dengan tambak batuan granit sepanjang 1,056 meter.

Ia bukan sekadar penghubung antara Malaysia iaitu Johor Bahru dan Singapura, malah amat berjasa memudahkan jutaan rakyat kedua negara yang berulang-alik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg