Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ulang tahun ke-100 Koswe: Hubungan Johor-S’pura saling melengkapi

Jun 27, 2024 | 1:26 PM
Koswe, yang memasuki usia satu abad, atau 100 tahun, pada 28 Jun, menjadi nadi penghubung Johor (Malaysia)-Singapura yang dinamik.
Koswe, yang memasuki usia satu abad, atau 100 tahun, pada 28 Jun, menjadi nadi penghubung Johor (Malaysia)-Singapura yang dinamik. - Foto MEDIA DIGITAL JOHOR

JOHOR BAHRU: Struktur Koswe (Tambak Johor) mempunyai nilai sejarah tersendiri dalam membentuk landskap pembangunan Johor, termasuk menjadi konotasi dalam mencetuskan kemajuan ekonomi, mengukuhkan hubungan persahabatan serta menjadi tanda hubungan diplomatik erat antara Johor dan Singapura.

Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, Profesor Datuk Dr Kassim Thukiman, berkata persahabatan antara Johor dan Singapura sejak dulu telah menggambarkan hubungan unik serta istimewa sedia terjalin yang bersifat saling melengkapi.

Beliau berkata dari segi sejarah, Johor bukan ‘backyard’ (halaman belakang) bagi Singapura, bahkan jauh sekali bersaing dengan negara jiran.

Ini kerana Johor, terutama Johor Bahru, sebenarnya telah pesat membangun dan muncul sebagai sebuah bandar pusat perdagangan saling melengkapi dengan Singapura yang menghadirkan limpahan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Keakraban Johor dan Singapura sehingga ke hari ini merupakan kesinambungan legasi diraja yang diwarisi daripada kebijaksanaan kepimpinan Kesultanan Johor Moden yang diasaskan oleh Almarhum Datuk Temenggong, Tun Daeng Ibrahim Sri Maharaja.

“Adalah tidak adil sekiranya wujud pemikiran dangkal yang menganggap Johor sebagai ketinggalan berbanding dengan negara jiran dan negeri-negeri lain dari sudut pembangunan ekonomi.

“Sebaliknya, semua pihak perlu mendalami malah memahami konteks hubungan persahabatan yang terjalin antara Johor dan Singapura, yang melengkapi antara satu sama lain, seterusnya dibuktikan dengan pembinaan Tambak Johor sebagai sambungan darat pertama merentasi Selat Tebrau,” katanya dalam satu temu bual bersama Media Digital Johor.

Dengan struktur binaan Tambak Johor yang menginjak usia satu abad pada 28 Jun, Datuk Dr Kassim menyifatkan kemajuan yang dikecapi Johor dan Singapura disumbangkan oleh kedudukan geografi yang sangat strategik, di samping sokongan Koswe sebagai nadi pergerakan ekonomi rentas sempadan sejak 1924.

“Ulang tahun ke-100 Tambak Johor yang bakal disambut dan diraikan pada 28 Jun secara tidak langsung membawa mesej yang signifikan kepada dunia bahawa keutuhan struktur binaan atas kebijaksanaan Almarhum Sultan Sir Ibrahim Sultan Sir Abu Bakar perlu dipelihara,” ujarnya.

Dilihat berperanan mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan ekonomi dunia, Datuk Dr Kassim turut melihat tiada keperluan menggerakkan cadangan menggantikan Tambak Johor kerana Koswe telah menjadi saksi sejarah kemajuan ekonomi dan persahabatan bersama Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg